Ketua Pembangkang Encik Pritam Singh telah memberi keterangan palsu kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) untuk mengurangkan tanggungjawabnya dalam kontroversi pembohongan bekas Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan.
Demikian menurut pihak pendakwa raya pada hari pertama perbicaraan Encik Pritam, yang juga Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), di Mahkamah Negara pada 14 Oktober.
Timbalan Peguam Negara (DAG) Ang Cheng Hock memberitahu mahkamah dalam kenyataan pembukaannya bahawa selepas Encik Pritam mendapat tahu Cik Raeesah telah berbohong di Parlimen, beliau memberitahu COP meminta Cik Raeesah untuk menjelaskan pembohongan itu.
Namun, pada hakikatnya, Encik Pritam telah memberitahu Cik Raeesah pada dua masa yang berbeza untuk mengekalkan pembohongannya.
Dalam kenyataan pembukaannya, DAG Ang berkata:
“Kami akan membuktikan bahawa kesimpulan yang tidak dapat dielakkan adalah bahawa tertuduh telah membimbing Cik Raeesah pada 3 Oktober 2021 untuk mengekalkan pembohongannya jika perkara itu dibangkitkan di Parlimen pada 4 Oktober 2021.”
Cik Raeesah telah dipanggil sebagai saksi pertama pendakwaan pada hari pertama perbicaraan itu.
Perbicaraan Pritam, yang ditetapkan selama 16 hari sehingga 13 November, dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg