Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, berkata Lesen Hiburan Seni tidak diperlukan bagi pameran di tempat komersial yang tujuan utamanya adalah untuk menjual barang tersebut.
Cik Teo berkata demikian dalam jawapan bertulisnya terhadap soalan yang diajukan Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Timah, Encik Christopher de Souza, pada 3 Oktober tentang satu pameran mainan ‘Wood Morning Singapore’ yang memaparkan watak kartun kanak-kanak dan mainan yang boleh dianggap tidak sesuai.
Pameran tersebut terletak di dalam kedai BLAXK by ActionCity di Funan Mall.
Ia memaparkan mainan yang direka oleh artis Perancis Juce Gace yang seolah-olah menunjukkan bentuk kemaluan lelaki yang kurang sopan.
Ini termasuk watak seperti Pinocchio yang dipaparkan dalam keadaan sedemikian.
“MCI (Kementerian Perhubungan dan Penerangan) telah menerima maklum balas awam yang menyuarakan keprihatinan terhadap pameran tersebut.
“Pihak pengurusan pusat beli-belah dan penyewa patut mengambil kira penerimaan orang ramai terhadap barangan yang dipamerkan terutama jika ia boleh dilihat oleh kanak-kanak kecil.
“MCI telah menyampaikan maklum balas itu kepada ActionCity dan pihak pengurusan pusat beli-belah Funan,” kata Cik Teo.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg