Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pimpin firma guaman sendiri pada usia muda

Jun 19, 2024 | 5:11 PM
Pengarah FND Legal, Cik Nureliza Syahidain Effendy, telah membuka firma guaman butik beliau sendiri pada 2022 ketika beliau berusia 29 tahun.
Pengarah FND Legal, Cik Nureliza Syahidain Effendy, telah membuka firma guaman butik beliau sendiri pada 2022 ketika beliau berusia 29 tahun. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Selepas empat tahun menjadi peguam bergaji, Cik Nureliza Syahidain Effendy memutuskan untuk membuka firmanya sendiri apabila usianya mencecah 29 tahun pada 2022.

Walaupun tempoh latihannya sebagai seorang peguam tidak begitu lama, Cik Nureliza, yang lebih mesra dikenali sebagai Cik Liza, kini 31 tahun, yakin bahawa keupayaannya bertutur dalam tiga bahasa adalah satu kemahiran yang akan membantunya menarik klien dari latar belakang yang berbeza.

Pendekatannya yang jujur dan berterus terang dengan klien, serta ketelusannya telah membolehkan Cik Liza mengekalkan firma guaman kecilnya, FND Legal yang telah berkembang maju setelah dua tahun sejak ia ditubuhkan.

Dalam satu temu bual dalam talian, Cik Liza yang berada di Australia ketika itu, berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa antara daya tarikan membuka firma sendiri adalah keupayaan untuk menentukan jadual sendiri.

Berbanding dengan peguam yang berlatih di bawah firma-firma guaman besar, sebagai pengarah firma guaman butik, Cik Liza dapat menentukan jumlah klien dan kes yang boleh dikendalikan oleh beliau di FND Legal, firma yang beliau namakan sempena bapanya.

“Walaupun ada beberapa cabaran yang saya alami apabila ingin memulakan firma sendiri seperti mencari pejabat luas di kawasan yang sesuai dengan kos sewa yang berpatutan, cabaran yang paling sukar bagi saya ialah mencari nama untuk firma guaman saya.

“Saya juga harus memberikan beberapa pilihan dan senaraikan sebab-sebab mengapa nama tersebut dipilih.

“Sedang saya memerah otak memikirkan nama, saya melihat ayah saya memakai jersi bola sepak Liverpool dengan huruf FND di belakang kerana namanya Effendy... saya pula suka dengan bunyi FND dan akhirnya saya memilih nama itu,” kata Cik Liza yang candi tutur katanya.

Dengan kebebasan untuk menentukan jadual, Cik Liza dapat mengisi masa lapangnya dengan kegiatan sukan dan melancong, di samping dengan tugas beliau sebagai pensyarah tambahan bagi kursus undang-undang di Politeknik Temasek (TP) serta kerja sukarelawan sebagai peguam dengan Biro Bantuan Guaman.

Cik Liza juga berkongsi bahawa pada permulaan, klien-klien yang memilih untuk menggunakan perkhidmatannya adalah klien yang berbangsa Cina dan beliau mengaitkannya dengan kefasihan berbahasa Cina, kemahiran yang diperolehinya ketika dibesarkan oleh neneknya yang berbangsa Cina.

“Saya belajar bahasa Cina sejak tadika lagi, ia juga telah menjadi bahasa ibunda saya semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Namun, dua adik perempuan dan seorang lagi adik lelaki saya belajar bahasa Melayu, saya seorang yang mengambil bahasa Cina kerana ibu bapa saya melihat penguasaan bahasa Cina lebih tinggi dan saya lebih cepat tangkap.

“Sukar juga apabila saya sudah dewasa dan perlu menggunakan bahasa Melayu sewaktu di kerja, ada sedikit kekok tetapi sekarang... saya jangka penguasaan bahasa Melayu saya lebih baik,” seloroh beliau lagi.

FND Legal yang terletak di Paya Lebar Square, adalah firma guaman yang pakar dalam mengendali kes berkenaan dengan undang-undang keluarga, perancangan harta pusaka, litigasi sivil dan undang-undang jenayah dan ia juga memberikan konsultasi pertama yang percuma.

Meskipun beliau seorang pengarah muda, Cik Liza yang mempunyai sikap berani mencuba itu, tidak takut untuk gagal dalam membuka firma guamannya.

Ia telah mengambil masa empat bulan daripada saat pertama di mana beliau mempunyai idea untuk membuka firma guaman sehingga firmanya berjaya ditubuhkan dan beliau berkata:

“Saya menganggap ini sebagai keputusan perniagaan. Jika saya gagal untuk mendapatkan klien dan saya tidak boleh mengekalkan firma ini, saya akan gulung tikar dan sambung sebagai peguam di firma yang lain.

“Namun ia tidak bermakna bahawa saya tidak akan cuba sedaya upaya saya untuk memajukan firma saya.”

Berkat usahanya dan kecekapan dirinya, serta dorongan dan sokongan daripada keluarga, kini FND Legal kekal berkembang maju dengan dua pegawai bersekutu dan seorang pengurus pemasaran.

“Saya menganggap ini sebagai keputusan perniagaan. Jika saya gagal untuk mendapatkan klien dan saya tidak boleh mengekalkan firma ini, saya akan gulung tikar dan sambung sebagai peguam di firma yang lain. Namun ia tidak bermakna bahawa saya tidak akan cuba sedaya upaya saya untuk memajukan firma saya.”
Cik Nureliza Syahidain Effendy, pemilik firma guaman FND Legal.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg