Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pintu skrin di 15 stesen MRT bawah tanah jalani kerja naik taraf

LTA: Khidmat, kekerapan kereta api di stesen sepanjang NSL dan EWL tidak terjejas
Jul 28, 2025 | 7:16 PM
Singapore, Singapura, LTA, pintu, doors, MRT stations
LTA menjelaskan perkhidmatan dan kekerapan kereta api di stesen-stesen terlibat di sepanjang Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur-Barat (EWL) tidak akan terjejas, meskipun pintu skrin di 15 stesen MRT bawah tanah akan lalui kerja naik taraf selama sekitar setahun setengah mulai Ogos 2025.  - Foto ST

Pintu skrin di 15 stesen MRT bawah tanah akan dinaik taraf secara berperingkat dalam tempoh setahun setengah, mulai Ogos 2025.

Meskipun begitu, perkhidmatan dan kekerapan kereta api di stesen-stesen terlibat di sepanjang Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur-Barat (EWL), tidak akan terjejas, menurut kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 28 Julai.

Kerja-kerja penggantian komponen pintu skrin ini dijangka selesai menjelang akhir Mac 2027 sebagai sebahagian usaha berterusan dalam memperbaharui dan meningkatkan kebolehpercayaan rangkaian kereta api di Singapura.

LTA menambah bahawa pintu-pintu yang sedia ada pada masa ini telah digunakan selama lebih 30 tahun.

Semua komponen utama, termasuk sistem pintu pneumatik (pneumatic system), sistem pemacu pintu, kawalan dan mekanisme, akan digantikan.

Sistem pintu pneumatik ini merupakan sistem mekanikal yang menggunakan udara atau gas termampat untuk menghasilkan gerakan atau kuasa, selalunya untuk mengautomasikan tugas atau mengawal pintu.

Tidak lebih daripada tiga pintu skrin di setiap platform akan dinaik taraf pada satu masa, jelas LTA.

Kerja-kerja peningkatan ini akan bermula di stesen Marina Bay dari Ogos hingga Disember, diikuti dengan stesen Braddell, Toa Payoh, Bugis dan Lavender dari Disember 2025 hingga April 2026.

Dari April hingga Ogos 2026 pula, kerja-kerja naik taraf akan dijalankan di stesen Somerset, Tanjong Pagar, Outram Park serta platform NSL di stesen City Hall.

Platform EWL di stesen City Hall dan Raffles Place, bersama platform di stesen Orchard dan Dhoby Ghaut pula akan dinaik taraf dari Ogos hingga Disember 2026.

Platform terakhir yang akan melalui kerja-kerja ini ialah stesen Novena, Newton, Tiong Bahru dan platform NSL di stesen Raffles Place, dari Disember 2026 hingga Mac 2027.

“Kerja naik taraf ini akan memastikan pintu skrin di platform terus beroperasi dengan selamat dan cekap untuk masa akan datang.

“Para penumpang dinasihatkan supaya memperhatikan papan tanda di stesen-stesen yang terlibat dan menggunakan pintu skrin yang masih beroperasi untuk naik dan turun gerabak kereta api,” kata LTA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg