Topik diikuti
Pergi ke BHkuPisa 2025: Pelajar S’pura kekal antara terbaik dunia, namun jurang prestasi melebar
Pisa 2025: Pelajar S’pura kekal antara terbaik dunia, namun jurang prestasi melebar
Lebih separuh pelajar Singapura menunjukkan keupayaan tinggi dalam menyelesaikan masalah secara sistematik, sekali gus meletakkan negara ini di tempat kedua dalam kecekapan tersebut.
Dapatan itu berdasarkan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2025, yang buat kali pertama menilai keupayaan pelajar dalam Penyelesaian Masalah Pengkomputeran (CMPS).
Dalam aspek itu, pelajar dinilai berdasarkan cara mereka menggunakan kemahiran seperti menjalankan eksperimen, menganalisis data serta membina dan mengesan ralat (debugging) sistem untuk menyelesaikan masalah dunia nyata.
Dapatan itu berdasarkan sampel representatif melibatkan 6,600 pelajar berusia 15 tahun yang dipilih secara rawak daripada kesemua 145 sekolah menengah pemerintah dan 12 sekolah swasta, termasuk madrasah tempatan.
Mereka mengambil bahagian dalam kajian Pisa 2025 yang dijalankan dari April hingga Mei 2025.
Tinjauan itu turut menunjukkan pelajar Singapura mengekalkan kedudukan pertama dalam kemahiran membaca.
Bagi Matematik dan Sains pula, Singapura menduduki tempat kedua, di belakang (pelajar) wilayah Beijing, Shanghai, Jiangsu dan Zhejiang (BSJZ) di China.
Secara keseluruhan, 15 peratus pelajar Singapura tergolong dalam kategori pelajar serba boleh secara akademik, iaitu mereka yang mencapai tahap prestasi tinggi dalam ketiga-tiga bidang teras – Membaca, Matematik dan Sains.
Angka itu merupakan yang tertinggi di peringkat global dan jauh melebihi purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) sebanyak 3 peratus.
Di samping itu, Singapura menduduki tempat kedua di peringkat global dalam modul Sains Alam Sekitar yang baharu, dengan 27 peratus pelajar mencapai tahap kecekapan tertinggi (Tahap 5 dan 6), berbanding purata OECD sebanyak 7 peratus.
Sejumlah 94 peratus pelajar Singapura turut menyatakan keyakinan bahawa tindakan individu mampu membawa kesan positif kepada alam sekitar.
Meskipun Singapura mencatatkan kadar pelajar berprestasi tinggi yang tertinggi, jurang pencapaian antara pelajar paling kuat dengan mereka yang lebih lemah semakin melebar dari 2022 hingga 2025, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan pada 8 September.
“MOE akan terus memberikan sokongan tersendiri kepada semua pelajar, khususnya mereka daripada kumpulan berkeperluan akademik rendah dan latar belakang rentan, menerusi peruntukan sumber tambahan serta rangkaian program ComLink+,” tambah kenyataan itu.
Meskipun menunjukkan pencapaian akademik kukuh, tinjauan itu juga mengenal pasti beberapa aspek kesejahteraan sosial yang mencatatkan penurunan.
Tanggapan pelajar terhadap sokongan keluarga dalam pembelajaran adalah lebih rendah berbanding purata OECD, di mana hanya 49 peratus pelajar melaporkan bahawa mereka berbincang mengenai perkembangan sekolah bersama keluarga setiap minggu, berbanding purata OECD sebanyak 60 peratus.
Sementara itu, 39 peratus pelajar menyatakan keluarga mereka mengambil tahu mengenai topik yang dipelajari di sekolah, berbanding purata OECD sebanyak 58 peratus.
Dalam aspek kesihatan fizikal, 23 peratus pelajar Singapura melaporkan tidak melakukan sebarang senaman di luar waktu sekolah, berbanding purata OECD sebanyak 17 peratus.
Bagi menangani isu tersebut, MOE bakal meningkatkan usaha kerjasama menerusi strategi kesihatan Grow Well SG serta inisiatif Parenting for Wellness.
Grow Well SG merupakan strategi nasional untuk menggalak kesihatan yang dilancarkan pada 2025 untuk mempertingkat penjagaan pencegahan serta memupuk gaya hidup lebih sihat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Strategi yang melibatkan beberapa kementerian itu bertujuan menangani secara menyeluruh aspek kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak dalam era digital.
Sementara itu, Parenting for Wellness bertujuan menggalak kesejahteraan mental dan daya tahan, di samping membantu ibu bapa memainkan peranan mereka dengan berkesan dalam era digital.
Dari segi persekitaran sekolah, majoriti pelajar melaporkan berasa selamat, dengan 96 peratus berasa demikian di dalam bilik darjah dan 94 peratus di kawasan sekolah yang lain.
Mengulas laporan itu, Ketua Pengarah Pendidikan MOE, Cik Liew Wei Li, berkata hasil kajian tersebut memberikan gambaran penting mengenai pelajar tempatan yang mempunyai sifat ingin tahu, cekal apabila berdepan pembelajaran yang mencabar serta prihatin terhadap isu persekitaran.
“Dapatan ini memberikan gambaran berguna mengenai pelajar kita sebagai individu yang belajar – mereka mempunyai sifat ingin tahu, terus berusaha meskipun pembelajaran menjadi sukar dan prihatin terhadap dunia di sekeliling mereka.
“Kami akan terus membantu anak-anak kita, tanpa mengira latar belakang atau tahap permulaan mereka, supaya mereka dapat berkembang dan belajar dengan yakin.
“Kami berterima kasih kepada guru, pemimpin sekolah dan ibu bapa atas kerjasama berterusan mereka dalam membangunkan pelajar secara menyeluruh,” ujarnya.
