PM Wong beri jaminan AI akan dimanfaat untuk perbaiki pekerjaan, gaji
PM Wong beri jaminan AI akan dimanfaat untuk perbaiki pekerjaan, gaji
Anggap AI sebagai “kuasa hebat” yang bentuk semula ekon S’pura meski punya risiko
Sedang kecerdasan buatan (AI) mendorong pertumbuhan ekonomi Singapura, pekerjaan tidak akan diabaikan.
Bahkan, AI bukan sahaja akan digunakan untuk mengembangkan ekonomi negara ini, pemerintah juga akan memastikan pertumbuhan tersebut menyediakan pekerjaan serta gaji lebih baik bagi warga Singapura.
Demikian dijamin Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong dalam ucapannya pada 26 Februari ketika menggulung bahas Belanjawan 2026.
Menganggap AI sebagai “kuasa hebat” yang membentuk semula ekonomi Singapura, Encik Wong akur kerisauan yang dibangkitkan ramai Anggota Parlimen (AP) berkaitan teknologi tersebut semasa perbahasan tiga hari itu adalah sah dan mesti dipandang serius.
Antara kerisauan tersebut ialah AI boleh menggantikan pekerja dan syarikat akan terlalu bergantung kepada AI sehingga mengabaikan latihan bagi pekerja.
“Kami berwaspada terhadap risiko-risiko ini, dan kami akan bertindak awal untuk mencegah perkara sedemikian daripada berlaku di Singapura.
“Kami akan melabur dengan lebih teliti dan sistematik dalam warga kita,” kata Encik Wong.
“Itulah jaminan kami, dan itulah sebabnya strategi kami bergerak ke hadapan adalah jelas. Kita tidak akan mempunyai pertumbuhan tanpa pekerjaan di Singapura.
“Kita akan mengeksploitasi AI untuk mengembangkan ekonomi dan memastikan bahawa pertumbuhan membawa kepada pekerjaan dan gaji lebih baik,” tambahnya.
Beliau setuju dengan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, yang menggesa agar setiap pekerja diperkasa agar lebih siap menangani AI.
Selain itu, sokongan dan perlindungan bagi pekerja harus dikukuhkan.
“Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak kami, terutama NTUC, untuk merealisasikan matlamat bersama ini,” kata Encik Wong.
Namun, Encik Wong akur setiap sektor berbeza dan cara AI digunakan serta kesannya terhadap pekerja juga berbeza.
Itu sebabnya pemerintah akan menyelaras transformasi industri dan penaiktarafan tenaga kerja melalui Majlis AI Nasional.
Selain isu AI, PM Wong turut menyentuh kos sewa bagi perniagaan makanan dan minuman (F&B) dan runcit yang telah menurun sebagai sebahagian daripada jumlah perbelanjaan operasi antara 2019 dengan 2024.
Kenaikan sewa bagi ruang runcit juga menunjukkan trend di bawah pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dan inflasi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut beliau.
Bagi sektor F&B, kos sewa jatuh kepada 17 peratus daripada jumlah kos perniagaan pada 2024. Ini berbanding 26 peratus pada 2019. Bagi sektor runcit pula, kos sewa menurun kepada 26 peratus daripada 30 peratus, dalam tempoh yang sama.
Namun pemerintah sedar harga sewa pasaran berbeza mengikut jenis hartanah dan lokasi, dan peniaga mungkin berdepan dengan peningkatan sewa lebih tinggi apabila kontrak mereka diperbaharui.
Bagi ruang di mana agensi pemerintah bertindak sebagai tuan tanah dan mempunyai pengawasan langsung, rangka kerja disediakan untuk memastikan sewa adil dan kompetitif. Ini akan terus dikaji semula dan dikemas kini, kata Encik Wong.
Dalam soalan susulan selepas ucapan Encik Wong, Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) bertanya sama ada pemerintah akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan siling tetap ke atas kenaikan sewa bagi mengekang “kuasa pasaran yang tidak terkawal”.
PM berkata pemerintah tidak mempertimbangkan langkah sedemikian, kerana kadar sewa secara keseluruhannya kekal stabil.
Beliau juga merujuk kepada pengalaman bidang kuasa lain, di mana had sewa yang diperkenal telah menghasilkan keputusan bercampur-campur.
Sementara itu, dalam responsnya terhadap kadar kesuburan Singapura yang semakin menurun, Encik Wong berkata pemerintah tidak akan berputus asa.
“Usaha kita tidak akan terhenti di sini. Kita belum berputus asa dan kita tidak akan berputus asa. Malah, kita sedang merancang pakej langkah seterusnya untuk mengukuhkan lagi sokongan kepada keluarga,” ujar beliau.
Menyimpulkan ucapannya mengenai akauntabiliti, PM Wong berkata beliau “secara prinsipnya bersetuju” dengan komen daripada AP seperti Encik Pritam Singh (GRC Aljunied) dan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) yang meminta lebih banyak maklumat bagi memastikan akauntabiliti fiskal dalam perbelanjaan pemerintah.
Encik Wong berkata beliau akan meminta semua kementerian untuk memberikan maklumat yang lebih jelas dan mudah diakses tentang inisiatif utama supaya rakyat Singapura dapat lebih memahami bagaimana sumber awam digunakan dan hasil yang dicapai.
“Kami ingin memastikan perkara itu, dan itulah sebabnya kami menerbitkan ulasan hasil sektor awam Singapura setiap dua tahun sejak 2010 yang menetapkan petunjuk hasil utama merentasi bidang dasar utama dan membolehkan orang ramai menjejaki kemajuan kami dari semasa ke semasa,” katanya.
Pemerintah akan terus menyemak petunjuk dalam laporan itu dan memastikan ia relevan dan berguna, katanya.
“Ia tidak statik. Kami sentiasa berusaha untuk menyegarkan dan mengemas kini dokumen ini,” tambahnya.

