Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian gesa kuasa besar dukung sistem berbilang hala

Turut tekankan negara kecil, sederhana punyai kepentingan besar terhadap keamanan dunia dalam ucapan wakili Kumpulan Tadbir Urus Sejagat di New York
Sep 26, 2025 | 7:43 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (baris kedua, tengah), ketika mewakili Kumpulan Tadbir Urus Sejagat (3G) semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar G20 di New York pada 25 September.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (baris kedua, tengah), ketika mewakili Kumpulan Tadbir Urus Sejagat (3G) semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar G20 di New York pada 25 September. - Foto FACEBOOK VIVIAN BALAKRISHNAN

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menyeru negara-negara kuasa besar supaya mendukung sistem berbilang hala berasaskan peraturan dan melakukan pembaharuan terhadap institusi sejagat supaya ia menjadi lebih terangkum dan berdaya tahan.

Berucap ketika mewakili Kumpulan Tadbir Urus Sejagat (3G) pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar G20 di New York pada 25 September, Dr Balakrishnan menekankan bahawa negara kecil dan sederhana mempunyai kepentingan besar terhadap keamanan dunia kerana mereka paling mudah terdedah pada kejutan geopolitik dan ekonomi.

Justeru, beliau menegaskan perlunya Kumpulan 20 (G20) berfungsi sebagai wadah dialog yang terangkum dan cekap ketika dunia sedang melalui fasa ketidaktentuan sejagat.

“Susunan sejagat sedang mengalami perubahan asas. Dalam keadaan tidak menentu sebegini, peranan sistem pelbagai hala berasaskan undang-undang lebih penting daripada sebelum ini.

“Lantas, kumpulan G20 yang merangkumi pemain utama dari pelbagai rantau mesti memainkan peranan sebagai wadah dialog dan kerjasama praktikal,” tambahnya.

Dr Balakrishnan turut menekankan komitmen 3G dalam menyokong dan memberi sumbangan aktif kepada kepimpinan Afrika Selatan selaku Pengerusi G20 serta keseluruhan proses kumpulan itu.

Beliau menyambut baik pendekatan Afrika Selatan ketika membuka mesyuarat menteri luar kepada semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Langkah itu, katanya, mencerminkan “semangat multilateralisme terbuka dan fleksibel”.

Tema kepimpinan Afrika Selatan iaitu Perpaduan, Kesamaan, Kemampanan juga dilihat sejajar dengan keperluan semasa dalam menggerakkan pembiayaan pembangunan secara mampan serta memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).

Menurut Dr Balakrishnan, ia terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan sambil menggesa G20 agar bekerjasama rapat dengan PBB dalam usaha itu dan yang lain-lain.

Beliau menambah, semakan G20@20 dibuat tepat pada waktunya.

Menurut laman G20, semakan itu menilai semula komitmen dan sasaran utama G20 sejak 2008.

Ia juga akan meneliti langkah bagi memastikan G20 kekal relevan serta mampu menyelaras tindak balas sejagat terhadap krisis.

“Semakan semula G20@20 dilakukan tepat pada waktu ketika institusi antarabangsa mesti melakukan pembaharuan untuk menyesuaikan diri dengan realiti baru,” kata Dr Balakrishnan.

Tambahnya, UN@80 dalam penerimaan Compromiso de Sevilla semasa Persidangan Antarabangsa Keempat Mengenai Pembiayaan Pembangunan mencerminkan semangat itu.

Beliau berkata ia adalah bukti kesungguhan masyarakat antarabangsa dalam mengukuhkan keberkesanan sistem sejagat.

“Pihak 3G bersedia untuk menyokong dan memberi sumbangan aktif kepada Kepimpinan Afrika Selatan.

“Kami akan terus menyerahkan cadangan tahunan secara tidak rasmi kepada G20 dan berperanan sebagai jambatan antara G20 dengan keanggotaan PBB yang lebih luas,” ujar Dr Balakrishnan.

Beliau turut menantikan kerjasama erat yang bakal diteruskan di bawah kepimpinan Amerika Syarikat pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg