Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

PM Lee gesa pembangkang terus terang dengan pengundi jika ingin belanja lebih dari rizab negara

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee gesa pembangkang terus terang dengan pengundi jika ingin belanja lebih dari rizab negara

Feb 07, 2024 | 09:39 PM



Jika mana-mana parti politik mahu membelanjakan lebih banyak wang daripada rizab negara dan kurang menabung untuk generasi akan datang, mereka harus terus terang dengan pengundi di pilihan raya umum akan datang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Demikian gesaan Encik Lee kepada ahli pembangkang yang telah menyeru pemerintah untuk mendedahkan baki penuh rizab dan meminda dasar-dasarnya supaya lebih banyak dana daripada rizab boleh dibelanjakan untuk rakyat Singapura hari ini untuk menangani kos sara hidup yang tinggi.

“Sekiranya mana-mana parti politik lain berpendapat bahawa ini bukan pendekatan yang betul, jika mereka benar-benar percaya bahawa kita perlu belanja lebih banyak, maka bawa ke peti undi. Terus terang... kata kepada pengundi bahawa anda ingin sentuh rizab negara. Anda mahu menukar peraturan.

“Jangan berpura-pura bahawa anda prihatin, cuma hanya lebih baik hati. Berkempen dalam pilihan raya umum akan datang dan minta pengundi beri anda mandat untuk membentuk pemerintah.

“Tukar Perlembagaan, bongkar kunci kedua. Letakkan ini dengan tepat kepada rakyat dan biarkan mereka membuat keputusan. Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan meyakinkan rakyat Singapura bahawa cara kita adalah cara yang betul untuk Singapura dan saya percaya rakyat Singapura mempercayai kita,” kata Encik Lee.

Demikian gesaan Encik Lee semasa menjawab usul yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai, yang menggesa pemerintah untuk mengkaji semula belanjawan semasa dan dasar pengumpulan rizabnya.

Encik Lee berkata, pemerintah mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk melindungi rizab negara, bukan sahaja untuk generasi ini, malah untuk generasi akan datang juga.

Dalam pada itu, beliau berkata prinsip untuk membenarkan pemerintah membelanjakan 50 peratus Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) dan menjimat baki 50 peratus untuk generasi akan datang adalah adil untuk semua generasi.

“Itulah yang NIRC telah membenarkan kita lakukan dan itulah beban yang NIRC telah ambil dari pembayar cukai Singapura.

“Kita berada di sini hari ini kerana nenek moyang kita mempunyai kebijaksanaan untuk membina rizab mereka, visi untuk mengatasi tekanan politik untuk membelanjakannya, dan imaginasi untuk mereka bentuk skim dua kunci untuk melindungi rizab bagi generasi akan datang,” kata Encik Lee.

Beliau juga menyelar cadangan bahawa Singapura boleh berbelanja lebih untuk generasi hari ini kerana rizab negara “sudah cukup”.

“Berapa cukup? Pada saya, itu soalan yang salah untuk ditanya. Ia adalah salah tanggapan bahawa apabila rizab kita sudah capai jumlah sedemikian, ia sudah cukup.

“Tiada nombor sedemikian. Kerana kita tidak tahu apa yang akan datang pada masa depan. Krisis apa yang akan kita akan hadapi dan berapa banyak yang kita perlu belanjakan,” kata Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >