Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Lee rai Hari Ibu bersama 2,500 penduduk Fernvale

May 12, 2024 | 9:05 PM
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong (depan, kiri), beramah mesra bersama para penduduk Fernvale di acara Hari Ibu pada 12 Mei
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong (depan, kiri), beramah mesra bersama para penduduk Fernvale di acara Hari Ibu pada 12 Mei - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selama lebih sejam pada 12 Mei, ratusan penduduk yang tinggal di kawasan Fernvale telah beratur panjang dan berebut untuk bergambar serta berswafoto bersama Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Encik Lee hadir di sebuah acara bagi memperingati Hari Ibu bersama lebih 2,500 penduduk anjuran Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Fernvale.

Acara tersebut adalah program masyarakat dan akar umbi terakhir beliau sebagai Perdana Menteri, sebelum menyerahkan pucuk pimpinan negara kepada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 15 Mei.

Susulan majlis penyerahan di Istana pada tarikh tersebut, beliau akan meneruskan peranan dalam menyokong Kabinet sebagai Menteri Kanan dan berkhidmat kepada penduduk GRC Ang Mo Kio sebagai Anggota Parlimen (AP).

Semasa acara Hari Ibu itu, Encik Lee turut bergambar bersama para peserta yang menyertai Cabaran Keluarga Fernvale dan pemenang peraduan Hari Ibu Fernvale.

Beliau diiringi Penasihat Akar Umbi, Encik Gan Thiam Poh (GRC Ang Mo Kio), yang merupakan AP kawasan Fernvale di bawah GRC tersebut.

“Fernvale ialah rumah kita, dan kita komited untuk membina masyarakat yang inklusif dan penyayang untuk semua.

“Sambutan ini adalah peluang yang baik untuk kita kumpul bersama dan menghargai kasih sayang serta pengorbanan ibu kita,” kata Encik Gan.

Di acara tersebut, Encik Lee juga sempat menyaksikan album gambar digital Hari Ibu Fernvale 2024, yang memaparkan kisah dan mesej penghargaan daripada penduduk Fernvale kepada ibu mereka.

Antara para ibu yang hadir untuk meraikan Hari Ibu di acara tersebut ialah Cik Fazidah Aziz, 53 tahun, yang datang bersama ibu, dua orang anak dan menantunya.

Cik Fazidah Aziz (duduk di bahagian kanan, berbaju merah) bersama anggota keluarga dan rakan-rakannya di acara Hari Ibu pada 12 Mei di Fernvale.
Cik Fazidah Aziz (duduk di bahagian kanan, berbaju merah) bersama anggota keluarga dan rakan-rakannya di acara Hari Ibu pada 12 Mei di Fernvale. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau melahirkan rasa gembira dapat menyertai sebuah acara berdekatan dengan rumahnya untuk meraikan Hari Ibu bersama keluarga dan rakan-rakannya.

“Sebenarnya, anak-anak saya hendak bawa saya keluar jalan-jalan untuk meraikan Hari Ibu. Tapi saya beritahu mereka saya sudah pun mendapat tiket daripada Rangkaian Penduduk (RN).

“Ada makan-makan, ada persembahan. Saya lebih suka kalau anak-anak saya dapat bersama dengan saya di sini untuk meraikan Hari Ibu,” kata Cik Fazidah.

Cik Jumiati Jammain (tiga dari kiri) bersama suami dan anak perempuannya, meraikan Hari Ibu bersama adik iparnya, yang tinggal di blok dan tingkat yang sama.
Cik Jumiati Jammain (tiga dari kiri) bersama suami dan anak perempuannya, meraikan Hari Ibu bersama adik iparnya, yang tinggal di blok dan tingkat yang sama. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selain Cik Fazidah, seorang lagi ibu yang hadir di acara tersebut adalah Cik Jumiati Jammain, 34 tahun. Beliau, bersama suami dan anak perempuannya, telah meraikan Hari Ibu bersama adik iparnya, yang tinggal di blok dan tingkat yang sama.

“Ini kali pertama saya menyertai acara Hari Ibu di sini. Seronok dapat merasakan suasana perayaan ini, memandangkan saya juga seorang ibu dan saya ingin meraikannya bersama anak perempuan saya.

“Suasana di sini juga amat meriah, dan ia juga peluang untuk keluarga kami mengeratkan hubungan dan mengenali jiran tetangga dalam kawasan perumahan ini,” kata Cik Jumiati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg