Hubungan antara rakyat Singapura dan Brunei terjalin amat mendalam, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menyusuli pertemuannya dengan Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di Istana Nurul Iman di Brunei pada 15 Januari.
Menyatakan demikian dalam satu catatan Facebook beliau, Encik Lee berkata jalinan itu bermula sejak zaman mendiang Encik Lee Kuan Yew dan Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien, iaitu ayah Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Encik Lee bersama isteri beliau berada di Brunei bagi menghadiri perkahwinan anak Sultan Brunei, Pangiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dengan isterinya, Dayang Anisha Rosnah Adam, di Istana Nurul Iman pada 14 Januari.
“Tahun ini kita menyambut ulang tahun hubungan diplomatik yang ke-40 tahun dengan Brunei.
“Di sebalik sambutan perkahwinan 10 hari yang sibuk, saya mengucapkan terima kasih kepada Sultan Hassanal Bolkiah kerana memperuntukkan masa untuk bertemu saya hari ini,” katan Encik Lee.
Selain itu, Encik Lee berkata beliau turut mengesahkan komitmen Singapura dengan “rakan rapat kita dan hubungan kukuh antara rakyat”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg