Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Lee antara tamu di persandingan Putera Mateen, isteri di Brunei

Jan 14, 2024 | 7:22 PM
PENAMPILAN UMUM PERTAMA: Pasangan diraja membuat penampilan umum pertama sebagai pasangan suami isteri dalam perarakan melalui ibu kota Bandar Seri Begawan di hadapan ribuan penonton pada 14 Januari 2024.
PENAMPILAN UMUM PERTAMA: Pasangan diraja membuat penampilan umum pertama sebagai pasangan suami isteri dalam perarakan melalui ibu kota Bandar Seri Begawan di hadapan ribuan penonton pada 14 Januari 2024. - Foto EPA-EFE

Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei, Pangiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah bersama isterinya, Dayang Anisha Rosnah Adam, berlangsung di Istana Nurul Iman, pada 14 Januari.

Sambutan pada 14 Januari adalah kemuncak perayaan 10 hari majlis perkahwinan di negara kecil yang kekayaannya diperolehi daripada rizab minyak dan gas itu.

Kedua-dua mempelai pengantin diraja yang memakai persalinan putih sedondon dibawa menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan.

Upacara penuh gah itu dihadiri pemimpin kerajaan dan tetamu terhormat dari Asia dan Timur Tengah.

Putera Mateen, 32 tahun, mengenakan pakaian istiadat manakala isterinya, Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah, memakai gaun putih labuh dengan permata berkilauan bagi majlis itu di Istana Nurul Iman.

Mereka membuat penampilan umum pertama sebagai pasangan suami isteri dalam perarakan melalui ibu kota Bandar Seri Begawan di hadapan ribuan penonton.

Terdapat suasana perayaan di kawasan bandar dengan tawaran aiskrim percuma dan minuman ringan yang dijual ketika orang ramai mula mengambil tempat di sepanjang laluan perbarisan beberapa jam sebelum ia bermula.

Pemimpin diraja dari Jordan, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Bhutan disenaraikan antara 5,000 tetamu yang dilaporkan.

PERKAHWINAN DIRAJA BRUNEI: Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong (empat dari kiri) bersama isteri dan beberapa pemimpin negara lain semasa menghadiri Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei di Istana Nurul Iman pada 14 Januari 2024.
PERKAHWINAN DIRAJA BRUNEI: Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong (empat dari kiri) bersama isteri dan beberapa pemimpin negara lain semasa menghadiri Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei di Istana Nurul Iman pada 14 Januari 2024. - Foto MCI

Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, yang merupakan antara tamu yang hadir, mengucapkan tahniah kepada pasangan itu dan berkata beliau “gembira dapat kembali ke Brunei bagi majlis perkahwinan itu”.

Dalam catatannya di Facebook, Encik Lee berkata:

“Saya sudah lama mengenali Putera Mateen menerusi persahabatan yang sudah lama terjalin dan banyak pertemuan yang saya adakan dengan bapanya, Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan datuk mentuanya, Pehin Isa Ibrahim.

“Amat senang sekali untuk melihat Putera Mateen dan Dayang Anisha memulakan babak baru kehidupan dan cinta bersama!”

Encik Lee turut diiringi isteri serta Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam kunjungannya ke Brunei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg