Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon, akan berada di Singapura bagi lawatan rasmi tiga hari dari 14 hingga 16 April.
Lawatan itu adalah yang pertama bagi Encik Luxon sejak beliau memegang jawatan pada November 2023.
Encik Luxon akan diberi sambutan rasmi di Istana pada 15 April.
Sejenis anggerik kacukan baru akan dinamakan sempena nama beliau.
Menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 14 April, Encik Luxon akan mengunjungi Presiden Tharman Shanmugaratnam dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang akan menjadi tuan rumah bagi satu majlis jamuan tengah hari untuk beliau.
Encik Luxon akan turut bertemu Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Dalam lawatannya, Encik Luxon akan diiringi Menteri Perubahan Iklim merangkap Menteri Pendapatan New Zealand, Encik Simon Watts, dan pegawai kanan lain.
“Lawatan Perdana Menteri Luxon mengesahkan hubungan amat baik yang terjalin sekian lama antara Singapura dengan New Zealand, yang disokong oleh Kerjasama Dipertingkat Singapura-New Zealand yang ditubuhkan pada 2019,” ujar MFA.
Kerjasama tersebut, yang menyambut ulang tahun kelimanya pada 2024, bertujuan membuka jalan bagi dua negara itu meningkatkan kerjasama dalam perdagangan dan ekonomi, pertahanan dan keselamatan, sains, teknologi dan inovasi, perubahan iklim dan kemampanan, serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Di bawah kerjasama itu, kementerian pendidikan dua negara itu, misalnya, telah bertukar-tukar maklumat mengenai sistem pendidikan masing-masing, daripada pembelajaran prasekolah kepada pendidikan tinggi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg