Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong akan buat lawatan pengenalan ke Filipina dari 4-5 Jun

Jun 3, 2025 | 3:48 PM
filipina, singapura, lawrence wong, ferdinand marcos jr
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), menyambut Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, semasa lawatannya ke Singapura pada 31 Mei 2024. - Foto MDDI

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan membuat lawatan pengenalan ke Filipina dari 4 hingga 5 Jun.

Demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 3 Jun.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, diundang oleh Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, yang akan menganjurkan makan malam rasmi bagi menghormatinya, lapor The Straits Times (ST).

Menurut kenyataan PMO, lawatan itu menegaskan komitmen Singapura untuk mengukuhkan hubungan baik dengan Filipina dan memberi peluang kepada kededua pemimpin saling bertukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama dua hala serta perkembangan serantau dan sejagat.

Pejabat Presiden Filipina pula menyatakan lawatan itu mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara kededua negara.

Pemimpin kededua negara dijadual mengadakan perbincangan dua hala pada 4 Jun untuk membincangkan cara memperkukuh hubungan dan meneroka peluang kerjasama lebih mendalam dalam pelbagai sektor, termasuk kesihatan, perubahan iklim dan kerjasama dalam perkhidmatan awam.

Mereka juga dijangka bertukar pandangan tentang perkembangan politik dan ekonomi utama di rantau ini, serta menegaskan komitmen bersama terhadap kestabilan dan kemakmuran serantau.

Encik Wong akan menyertai upacara meletak kalungan bunga di Monumen Rizal – makam wira nasional Filipina, Encik Jose Rizal – dan menerima sambutan rasmi di Istana Malacanang, kediaman rasmi dan pejabat Presiden.

Encik Wong akan ditemani isteri; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, serta pegawai dari Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan PMO.

Semasa ketiadaan Encik Wong, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam akan menjadi Pemangku Perdana Menteri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg