Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, UAE meterai 8 MOU meliputi kerjasama pelbagai bidang

PM Wong jadi hos kepada Putera Mahkota Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan, yang adakan lawatan rasmi sulung ke sini
Oct 29, 2024 | 6:56 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan, mengesahkan persahabatan mesra antara Singapura dengan UAE dan telah mengadakan perbincangan merangkumi pelbagai topik termasuk geopolitik, tenaga bersih, pelancongan dan pemprograman muzium semasa pertemuan mereka pada 29 Oktober.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan, mengesahkan persahabatan mesra antara Singapura dengan UAE dan telah mengadakan perbincangan merangkumi pelbagai topik termasuk geopolitik, tenaga bersih, pelancongan dan pemprograman muzium semasa pertemuan mereka pada 29 Oktober. - Foto MDDI

Singapura dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) merupakan hab bagi rantau masing-masing, dan boleh meraih banyak manfaat dengan memperkukuh hubungan serta mempelajari pengalaman satu sama lain, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Encik Wong menjadi tuan rumah kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan, yang sedang mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Singapura pada 29 dan 30 Oktober.

Dalam satu catatan Facebook pada 29 Oktober, Encik Wong berkata beliau dan Putera Mahkota Abu Dhabi itu telah mengadakan perbincangan merangkumi pelbagai topik termasuk geopolitik, tenaga bersih, pelancongan dan pemprograman muzium.

“Negara kami merupakan hab bagi rantau masing-masing, dan komited terhadap perintah antarabangsa yang berasaskan peraturan.

“Kita boleh meraih banyak manfaat dengan memperkukuh hubungan kita, dan mempelajari daripada pengalaman satu sama lain.

“(Saya) menanti-nantikan untuk mengeratkan hubungan kami sedang kita menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik tahun depan (2025),” tambah Encik Wong.

Singapura dan UAE juga menandatangani lapan memorandum persefahaman (MOU) meliputi kerjasama dalam pelbagai bidang sempena lawatan Putera Mahkota Sheikh Khaled itu.

Ini termasuk dalam pembangunan sosial, pendidikan eksekutif, pembangunan kepimpinan, kerjasama perkhidmatan awam, latihan guru, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga nuklear awam.

Ketibaan Putera Mahkota Sheikh Khaled disambut dengan penuh istiadat pada 29 Oktober di Bangunan Parlimen, sebelum beliau bertemu dengan Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan pada 29 Oktober, berkata kedua-dua pemimpin itu mengesahkan persahabatan mesra antara Singapura dengan UAE dan kepentingan bersama yang dikongsi kedua-dua negara itu sebagai negara kecil dan hab di rantau masing-masing.

Mereka juga membincangkan cara memperkukuh kerjasama melalui Forum Bersama Abu Dhabi-Singapura yang merupakan wadah utama bagi memacu kerjasama sektor.

Dua pemimpin itu mengalu-alukan perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik dalam bidang termasuk pentadbiran awam, strategi mitigasi iklim dan tenaga bersih.

Antara lain, mereka membincangkan tentang perkembangan global dan rantau, tambah MFA.

Pada 28 Oktober, Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, dan Pengerusi Penguasa Ehwal Eksekutif (EAA) Abu Dhabi, Encik Khaldoon Khalifa Al Mubarak, telah mempengerusikan bersama Forum Bersama Abu Dhabi-Singapura yang ke-15.

Mereka telah membincangkan kerjasama dalam perdagangan digital, ekonomi hijau, jaminan makanan, kekurangan air, serta bidang baru seperti kerjasama angkasa lepas.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), dalam kenyataannya, berkata UAE merupakan rakan dagangan dan destinasi pelaburan terbesar Singapura di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

UAE juga rakan dagangan ke-14 terbesar Singapura pada 2023, dengan perdagangan barangan dua hala antara kededua negara itu mencapai $23.6 bilion pada 2023.

Sementara itu, perdagangan dalam perkhidmatan antara UAE dengan Singapura mencapai $10.5 bilion pada 2022.

Pada 2022, saham pelaburan Singapura ke UAE mencecah $3.9 bilion, yang tertumpu pada sektor seperti minyak dan gas, teknologi infokom, prasarana dan hartanah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg