Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong, Anwar adakan Rahat Pemimpin pada 4 Dis

Dec 3, 2025 | 6:00 PM
Anwar, lawat, Singapura
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengunjungi Singapura bagi Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12, pada 4 Disember. Gambar Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Datuk Anwar ini diambil semasa Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-11 di Putrajaya, Malaysia pada Januari 2025. - Foto ST

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengunjungi Singapura bagi Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 pada 4 Disember.

Kunjungan beliau adalah atas undangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Edisi rahat terkini berlangsung ketika Singapura dan Malaysia menyambut ulang tahun ke-60 hubungan dua hala pada 2025 di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.

Ini menyusuli Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-11 yang diadakan di Putrajaya, Malaysia pada Januari 2025, yang merupakan rahat pertama antara mereka berdua sebagai Perdana Menteri.

Dengan rahat pemimpin yang akan datang, ia akan menjadi kali kelima dua pemimpin itu bertemu pada 2025, menyusuli pertemuan di rahat pemimpin sebelumnya pada Januari, Sidang Puncak Asean pada Mei dan Oktober, dan Dialog Shangri-La pada Mei.

Rahat tahunan itu merupakan platform utama bagi pemimpin dua negara menilai kerjasama dua hala, meneroka wadah kerjasama baru dan memberikan panduan untuk memajukan hubungan dua hala, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya pada 3 Disember.

Encik Wong akan mengadakan jamuan tengah hari bagi Datuk Anwar, dengan delegasi dua negara tersebut akan bertemu selepas itu.

Setelah itu, kedua-dua Perdana Menteri akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) dalam bidang kepentingan bersama, seperti kerjasama kesihatan dan usaha menentang dadah.

MOU tersebut akan memperluaskan kerjasama dua hala dan meningkatkan pertukaran antara kedua-dua negara, kata MFA.

Dalam edisi rahat sebelum ini di Putrajaya pada Januari 2025, kedua-dua pemimpin telah menyaksikan pemeteraian perjanjian untuk membentuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Terletak di bahagian selatan Johor, zon bersepadu itu meliputi kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang, iaitu seluas kira-kira 3,500 kilometer persegi atau empat kali ganda saiz Singapura.

Ia bertujuan membantu Johor dan Singapura bersaing untuk pelaburan di peringkat dunia, selain menambah baik perhubungan dan pergerakan barangan dan warga serta mengukuhkan ekosistem perniagaan di rantau ini.

Kedua-dua negara juga memberi komitmen untuk terus mempertingkat dan memperkukuh ketersambungan pengangkutan, contohnya melalui Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, yang dijangka siap menjelang akhir 2026.

Dalam rahat pemimpin yang akan datang ini, Datuk Anwar akan diiringi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pemangku Menteri Ekonomi dan Menteri Kedua Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Delegasi Singapura pula terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu; Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg