Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 akan diadakan di Singapura pada 4 Disember di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.
Beberapa jalan di sekitar kawasan tersebut akan ditutup atas sebab keselamatan, kata pihak polis dalam satu kenyataan pada 1 Disember.
Rahat tahunan antara pemimpin kededua negara itu merupakan wadah penting bagi menangani isu-isu lama serta membincangkan bidang kerjasama baru, lapor The Straits Times (ST).
Bagi edisi rahat sebelum ini, yang diadakan pada 6 dan 7 Januari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengunjungi Putrajaya di Malaysia untuk bertemu rakan sejawatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka kemudian mengumumkan kemajuan berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang baru.
Polis berkata pada 1 Disember, mereka akan menjalankan pemeriksaan keselamatan di sekitar hotel itu.
Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan polis dan tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil bagi sebarang ketidakpatuhan.
Jalan dan lorong berikut akan ditutup dari 10 malam pada 3 Disember hingga 11.59 malam pada 4 Disember:
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan turut menetapkan kawasan larangan sementara di bahagian atas hotel, pada 4 Disember dari 9 pagi hingga 5.30 petang, ujar kenyataan itu.
Ini bermakna sepanjang tempoh tersebut, semua kegiatan udara, termasuk bermain layang-layang dan penggunaan pesawat tanpa pemandu seperti dron di dalam atau memasuki kawasan tersebut, adalah dilarang.
Sebarang kegiatan sedemikian merupakan satu kesalahan.
Pesalah kali pertama yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga $20,000.
Polis mengingatkan orang ramai supaya menyemak laman web OneMap.sg atau aplikasi OneMap untuk mendapatkan maklumat mengenai kawasan di mana kegiatan udara dan pesawat tanpa pemandu dilarang atau memerlukan permit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg