Singapura dan Malaysia telah menandatangani perjanjian untuk membentuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada 7 Januari.
Perjanjian itu, yang melakar secara luas pembentukan kawasan perniagaan dan pelaburan, ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan pemeteraian perjanjian itu yang diadakan sempena Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya, Malaysia.
Terletak di bahagian selatan Johor, zon bersepadu itu meliputi kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang, iaitu seluas kira-kira 3,500 kilometer persegi atau empat kali ganda saiz Singapura.
Encik Wong berkata perjanjian JS-SEZ itu bertujuan membantu Johor dan Singapura bersaing untuk pelaburan di peringkat dunia, selain menambah baik perhubungan dan pergerakan barangan dan warga serta mengukuhkan ekosistem perniagaan di rantau ini.
Bercakap di sidang media bersama di akhir rahat dua hari itu, Encik Wong berkata JS-SEZ akan mencipta pekerjaan yang baik dan lebih banyak peluang untuk rakyat kededua negara.
“Semasa berunding untuk mengadakan perjanjian ini, kededua pihak telah melibatkan secara aktif pihak berkepentingan untuk memastikan JS-SEZ mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu perniagaan kita berkembang bersama untuk jangka lebih panjang,” kata Encik Wong.
“Justeru, kami yakin pada JS-SEZ dan berhasrat melaksanakannya.”
“Ada banyak kekuatan dari kededua pihak untuk menjadikan zon itu lebih berdaya saing dan menjadi lokasi menarik untuk dijadikan tapak perniagaan,” kata Encik Wong.
Bagi pihak Singapura, pihak berkuasa di sini telah mengadakan perbincangan dengan banyak perniagaan yang berminat untuk mengembangkan perniagaan ke Johor, kata Encik Wong.
“Potensi lebih besar bagi JS-SEZ bukan sahaja mengenai perniagaan Singapura meneroka Johor, malah mengenai kededua pihak bekerjasama untuk menarik pelaburan baru di peringkat dunia,” kata Encik Wong.
Menambah, Encik Wong berkata memasarkan zon itu sebagai destinasi yang digabungkan, membolehkan kededua pihak menarik lebih banyak pelaburan dunia.
Datuk Anwar berkata JS-SEZ ialah inisiatif unik kerana adalah jarang bagi dua negara bekerjasama sebagai sebuah pasukan.
Kededua negara juga dipimpin pemerintah yang stabil dari segi politik dan mempunyai dasar ekonomi yang jelas – ciri-ciri yang akan menarik perniagaan dan pelaburan ke zon ekonomi baru, kata Datuk Anwar.
Usulan bagi membentuk kawasan ekonomi khas pertama kali diumumkan pada 2023 apabila Datuk Anwar menghadiri Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-10 di Singapura.
Menyusuli itu, Memorandum Persefahaman (MOU) bagi JS-SEZ telah ditandatangani pada Januari 2024.
Rahat pemimpin itu merupakan platform tahunan bagi pemimpin kedua-dua negara untuk menetapkan hala tuju keseluruhan bagi kerjasama dua hala. Tahun ini menandakan 60 tahun hubungan diplomatik antara kededua negara.
Encik Wong menyatakan bahawa beliau dan Datuk Anwar telah bertemu banyak kali sejak lawatan pengenalan pertamanya sebagai perdana menteri ke Malaysia pada Jun 2024, termasuk di forum serantau dan pelbagai hala.
“Kami telah membina persefahaman yang sangat kuat, persahabatan, hubungan yang dibina atas kepercayaan antara satu sama lain, dan itu juga melakar hubungan dua hala kami. Jadi pertemuan ini adalah peluang yang berguna untuk mengeratkan lagi silaturahim kami,” katanya.
Beliau menambah, kedua-dua negara juga bekerjasama dalam bidang seperti meraikan warisan bersama, dan melabur dalam masa depan bersama.
“Kami berdua bersetuju bahawa kerjasama dua hala mesti terus memberikan manfaat konkrit kepada kedua-dua rakyat kami, dan itulah asas kami bekerja,” kata Encik Wong.
Kedua-dua negara juga sedang mempertingkat dan memperkukuh ketersambungan pengangkutan, contohnya ialah Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, yang akan memulakan perkhidmatan menjelang akhir 2026.
Kemampanan juga merupakan keutamaan utama bagi kedua-dua pihak, dan kedua-dua pemimpin telah membincangkan dan membuat kemajuan yang baik dalam kerjasama dalam bidang tenaga hijau dan kemampanan, seperti melalui perdagangan elektrik rentas sempadan, tambah Encik Wong.
Encik Wong juga menyatakan sokongan penuh Singapura terhadap jawatan pengerusi Asean Malaysia pada 2025.
Dalam meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik, Encik Wong berkata kedua-dua negara boleh berbangga dengan apa yang telah mereka capai bersama sebagai rakan baik dan jiran rapat.
“Saya gembira untuk menemui PM Anwar rakan kongsi yang sama-sama komited untuk memastikan hubungan kita terus berkembang dan menaikkan kedua-dua rakyat kita,” katanya.
Malaysia ialah rakan dagangan ketiga terbesar Singapura, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah $123.6 bilion pada 2023, menurut Jabatan Perangkaan (DOS).
Singapura pula ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia pada 2023 dan merupakan sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) ke negara itu, menyumbang RM43.7 bilion ($13.1 bilion) atau 23.2 peratus FDI Malaysia.
Semasa ucapannya, Datuk Anwar berkata Malaysia berharap untuk meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara, khususnya menerusi JS-SEZ.
Beliau menambah Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan dua hala, dan bekerjasama dalam bidang baru seperti pendidikan dan tenaga.
Semasa rahat pemimpin pada 7 Januari itu, Singapura dan Malaysia turut menandatangani beberapa MOU dan perjanjian lain, termasuk kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, pembangunan bandar dan usaha memelihara alam sekitar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg