SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

PM Wong, Anwar bincang krisis Iran, tumpu daya tahan tenaga

PM Wong, Anwar bincang krisis Iran, tumpu daya tahan tenaga

Apr 21, 2026 | 1:26 PM

PM Wong, Anwar bincang krisis Iran, tumpu daya tahan tenaga

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, membincangkan krisis di Iran bersama rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi satu panggilan telefon pada 20 Aprill.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, membincangkan krisis di Iran bersama rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi satu panggilan telefon pada 20 Aprill. - Foto FACEBOOK LAWRENCE WONG

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan kepentingan usaha diplomatik ketika kedua-dua negara itu menumpukan perhatian kepada pengukuhan rantaian bekalan dan daya tahan tenaga di tengah-tengah perang di Timur Tengah.

Dalam panggilan telefon pada 20 April, mereka membincangkan krisis Iran, tegas Encik Wong, sambil menegaskan betapa pentingnya usaha diplomatik yang berterusan untuk mencapai penyelesaian.

Beliau turut membincangkan cara Singapura dan Malaysia boleh bekerjasama lebih erat untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.

“Pada masa-masa sebegini, adalah lebih penting bagi jiran dekat seperti Singapura dan Malaysia untuk kekal selaras dan saling menyokong antara satu sama lain,” tulis Encik Wong di Facebook.

Perang di Timur Tengah tercetus apabila Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari, menyasarkan dan membunuh beberapa pemimpin tertingginya, termasuk pemimpin agung Iran, Encik Ayatollah Ali Khamenei.

Tindakan balas Teheran tercetus di seluruh wilayah Teluk.

Peperangan itu menyebabkan tentera Iran menutup laluan perkapalan Selat Hormuz yang menyalurkan sekitar satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair dunia, seterusnya mengakibatkan krisis tenaga global.

Dalam hantaran di media sosial, Datuk Anwar menulis bahawa kedua-dua pemimpin menyambut baik gencatan senjata sementara melibatkan Amerika, Iran, Israel dan Lebanon.

“Saya tegaskan keperluan mendesak untuk semua pihak menyokong penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkekalan,” tulis Datuk Anwar.

Malaysia turut menyokong usaha diplomatik yang sedang berjalan, termasuk peranan Pakistan dalam membuka ruang dialog, serta menegaskan kepentingan menjaga kebebasan serta keselamatan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, selaras dengan undang-undang antarabangsa, tambah Datuk Anwar.

Perdana Menteri Malaysia itu menambah bahawa kedua-dua negara akan menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuh daya tahan grid tenaga dan mengurus cabaran keseimbangan antara tawaran dengan permintaan.

Ini termasuk mempercepat pelaksanaan Grid Tenaga Asean sebagai langkah kerjasama strategik serantau.

“Kami akan terus mengutamakan keperluan domestik dan memastikan Malaysia serta rantau ini kekal berdaya tahan di tengah-tengah ketidaktentuan global,” katanya.

Menurut laman web Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC), Grid Tenaga Asean adalah inisiatif serantau, merangka penyambungan sistem elektrik seluruh 10 negara anggota Asean.

Tujuannya jelas: memperkasa keselamatan tenaga, memacu penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan memantapkan integrasi ekonomi serantau.

Dengan permintaan elektrik Asia Tenggara dijangka melonjak tiga kali ganda menjelang 2050, grid ini penting untuk perkongsian kuasa yang lebih cekap.

Ia membolehkan lebihan tenaga bersih dari negara seperti Laos dan Malaysia disalurkan kepada ekonomi berpermintaan tinggi seperti Vietnam, Thailand, dan Indonesia.

Sebelum ini, pada 25 Mac, Encik Wong dan Datuk Anwar telah berbincang mengenai perkembangan di Timur Tengah. Kedua-duanya komited melindungi kestabilan serantau di tengah peningkatan tekanan terhadap bekalan minyak dan ekonomi global.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg