Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura komited terus perkukuh daya tahan tenaga serantau
S’pura komited terus perkukuh daya tahan tenaga serantau
PM Wong: Kerjasama antara negara perlu di tengah pergolakan Timur Tengah dan krisis bahan api
S’pura komited terus perkukuh daya tahan tenaga serantau
Singapura akan memainkan peranannya untuk memperkukuh daya tahan serantau di tengah-tengah krisis bahan api tetapi ia tidak mampu menjamin keperluan tenaganya tanpa bantuan rakan kerjasama yang dipercayai di rantau ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Daya tahan tersebut, tambah beliau, harus dibina secara bersama.
Dalam satu sidang kemuncak dalam talian bersama pemimpin serantau, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata tiada negara yang mampu menjamin keperluan tenaga mereka secara bersendirian.
Maka, itu sebabnya Singapura menghargai sokongan bersama dan jaminan daripada rakan kongsi yang dipercayai seperti Australia, Jepun, dan negara anggota Asean, kata beliau.
Dalam ucapan yang disampaikan di sidang kemuncak dalam talian Masyarakat Sifar Pelepasan Asia (Azec) Plus, Encik Wong berkata semua pihak amat bimbang dengan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah serta penutupan berterusan laluan perkapalan Selat Hormuz.
Asia amat terdedah kepada gangguan bekalan tenaga kerana negara di rantau ini sangat bergantung kepada tenaga yang diimport, tambah beliau.
“Sebagai sebuah negara perdagangan, kami akan mempermudah aliran barangan keperluan yang berterusan melalui Singapura dengan memastikan pelabuhan dan rangkaian perdagangan kami kekal terbuka, sama seperti yang kami lakukan semasa pandemik Covid-19.
“Sebagai hab maritim, kami akan terus menegakkan hak dan kebebasan pelayaran yang ditetapkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), yang membolehkan aliran perdagangan sejagat stabil merentasi laluan laut yang kritikal,” kata Encik Wong.
Singapura, sebagai hab perdagangan minyak dan eksport penapisan, akan melakukan apa yang termampu untuk mendapatkan alternatif kepada minyak mentah, gas asli dan cecair gas asli yang belum diproses.
Ini supaya sektor tersebut dapat terus membekalkan produk bahan api ditapis ke pasaran seluruh dunia, tambah beliau.
Sidang kemuncak yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, turut disertai pemimpin serantau lain seperti Menteri Ehwal Luar India, Encik S. Jaishankar; dan Perdana Menteri Korea Selatan, Encik Kim Min-seok.
Pemimpin Asean, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Vietnam, Encik Le Minh Hung; dan Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, turut menghadiri mesyuarat maya tersebut.
Wakil daripada Bank Pembangunan Asia, Institut Penyelidikan Ekonomi untuk Asean dan Asia Timur (Eria), serta Agensi Tenaga Antarabangsa turut mengambil bahagian.
Dalam ucapannya, Encik Wong menyambut baik pakej bantuan yang dilancarkan Cik Takaichi pada 15 April.
Pakej tersebut akan menyediakan sokongan kewangan berjumlah AS$10 bilion ($12.7 bilion) kepada negara Asia Tenggara yang bergelut dengan lonjakan harga minyak mentah akibat ketegangan di Timur Tengah.
Menurut Encik Wong, pakej itu memberi “sokongan tepat pada masanya dan praktikal untuk negara Asia memperkukuh rantaian bekalan tenaga mereka”.
“Pada masa yang sama, kita harus melihat melangkaui krisis semasa ini untuk bersiap sedia menghadapi kejutan pada masa akan datang,” tambah beliau.
Encik Wong berkata Singapura menyokong usaha menaik taraf Azec, dengan tumpuan lebih mendalam terhadap pengukuhan daya tahan ekonomi dan tenaga di rantau ini.
Namun, itu tidak bermakna kita mengetepikan matlamat asal masyarakat tersebut untuk mencapai pelepasan sifar bersih, tambah beliau.
“Sebaliknya, ia mencerminkan pengiktirafan jelas bahawa jaminan tenaga dan penyahkarbonan harus bergerak seiring,” katanya.
Usaha untuk mencapai kecekapan tenaga, mempelbagaikan sumber tenaga, serta menjadikan sistem lebih berdaya tahan terhadap gangguan masa depan perlu diteruskan, tambah Encik Wong.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk memajukan daya usaha serantau yang nyata bagi menyokong matlamat bersama, termasuk pelan Grid Kuasa Asean.
Grid tersebut bertujuan menghubungkan rangkaian elektrik dalam kalangan anggota Asean bagi membolehkan perdagangan bekalan kuasa merentas sempadan serta menjamin bekalan tenaga yang boleh dipercayai di rantau ini.
“Jika kita bertindak bersama, kita boleh membangunkan seni bina tenaga lebih kukuh untuk rantau kita serta membina sistem tenaga yang bukan sahaja lebih bersih, malah lebih terjamin dan berdaya tahan.
“Singapura bersedia untuk bekerjasama dengan rakan anggota Azec dan rakan kongsi lain bagi merealisasikan perkara ini,” ujar Encik Wong.
“
“Sebagai sebuah negara perdagangan, kami akan mempermudah aliran barangan keperluan yang berterusan melalui Singapura dengan memastikan pelabuhan dan rangkaian perdagangan kami kekal terbuka, sama seperti yang kami lakukan semasa pandemik Covid-19. Sebagai hab maritim, kami akan terus menegakkan hak dan kebebasan pelayaran yang ditetapkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), yang membolehkan aliran perdagangan sejagat stabil merentasi laluan laut yang kritikal.”
