Bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza adalah akibat tindakan keterlaluan Israel dan Singapura menggesa bagi gencatan senjata segera dan pembebasan tebusan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) semasa beliau menggulung lawatannya ke Kuala Lumpur, Malaysia bagi Sidang Puncak Asean Ke-46 dan Sidang Berkaitan dari 26 hingga 27 Mei, beliau berkata:
“Kita semua sangat sedih dengan bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza. Ia adalah akibat daripada tindakan Israel yang keterlaluan dan kami menyeru agar (bukan hanya) permusuhan dihentikan, tetapi juga tebusan dikembalikan.
“Kami tahu bahawa terdapat usaha masyarakat antarabangsa serta negara utama untuk cuba mendapatkan semua pihak ke arah hasil seperti itu, termasuk mendapatkan semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, supaya bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan.
“Namun, gencatan senjata masih tidak mencukupi, kerana meskipun setelah gencatan senjata dilaksanakan, anda boleh adakan gencatan senjata selama beberapa hari, minggu, bulan, bahkan tahun, keganasan masih boleh berulang lagi.”
Encik Wong berkata satu-satunya cara bagi penyelesaian yang bertahan lama terhadap konflik itu adalah penyelesaian dua negara yang boleh dicapai hasil perundingan.
Konflik Gaza-Israel itu merupakan antara isu yang telah dibincangkan semasa Sidang Puncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua, salah satu daripada sidang berkaitan yang telah diadakan sempena Sidang Puncak Asean Ke-46.
“Ia akan menjadi sangat rumit. Ia akan menjadi sangat mencabar, memandangkan apa yang telah berlaku baru-baru ini, namun masyarakat antarabangsa sedang melakukan yang terbaik dan Singapura akan memainkan peranan kita untuk mempermudahkan usaha ini juga,” kata beliau.
Semasa berucap di Sidang Puncak Asean-GCC itu, Encik Wong turut menggesa gencatan senjata segera dan pembebasan tebusan, serta mengulangi sokongan lama Singapura bagi penyelesaian dua negara yang boleh dicapai hasil perundingan.
“Antara GCC dengan Asean, kami sentiasa menyokong pendekatan penglibatan dan dialog untuk menegakkan keamanan dan kestabilan.
“Dan ini adalah amat penting sedang kita menghadapi konflik yang berterusan di dunia,” kata beliau di sidang tersebut.
GCC dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Oman.
Sidang Puncak Asean-GCC yang pertama berlangsung pada 2023 di Riyadh, Arab Saudi, di mana kedua-dua blok rantau itu melakarkan agenda lima tahun mereka dan memutuskan untuk mengadakan sidang puncak setiap dua tahun, diadakan secara bergilir-gilir antara rantau GCC dengan Asean.
Isu konflik Gaza-Israel turut dibincangkan dalam sidang puncak yang pertama itu, di mana Perdana Menteri pada ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, berkata Singapura telah menggesa semua pihak untuk membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan segera, sambil mengulangi sokongan negara ini bagi penyelesaian dua negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg