Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Asean sedar perlu cepat sepadu ekonomi demi tingkat daya saing

Perlu rangka kerja sesuai merancak ekonomi, tarik pelaburan baru
Oct 28, 2025 | 8:00 PM
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, bercakap dengan media pada 28 Oktober bagi menggulung lawatannya ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Berkaitan di Kuala Lumpur, Malaysia.
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, bercakap dengan media pada 28 Oktober bagi menggulung lawatannya ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Berkaitan di Kuala Lumpur, Malaysia. - Foto ST

Kerjasama tidak berlaku dalam sekelip mata, justeru Asean perlu menyediakan rangka kerja yang sesuai supaya ia boleh menerajui penglibatan dengan negara lain di luar Asean, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Bercakap kepada media bagi menggulung lawatannya ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Berkaitan pada 28 Oktober, Encik Wong berkata pemimpin Asean menyedari perlunya mempercepat penyepaduan dan menjadikan pasarannya lebih berdaya saing serta menarik bagi pelaburan.

“Kita tidak boleh menunggu negara-negara lain melakukannya untuk kita. Kita, sebagai Asean, perlu mula mewujudkan tabiat baru ini, norma baru, amalan baru, model kerjasama baru.

“Jika kita berjaya melakukannya, maka kita boleh memastikan Asean kekal sebagai wadah terbuka dan terangkum di mana semua kuasa besar boleh bekerjasama dengan kita dan akan mempunyai kepentingan di rantau ini,” kata Encik Wong.

Menurut Encik Wong, Asean bukan sahaja telah meningkatkan penglibatannya dengan rakan kongsi tradisional seperti China, Jepun, Korea, New Zealand, Australia dan Amerika, bahkan juga dengan rakan kongsi baru yang berminat untuk bekerjasama dengan Asean.

Beliau memetik Canada yang berminat mempunyai Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) Asean-Canada, Kesatuan Eropah (EU) yang telah menyatakan minat memeterai perjanjian perdagangan dengan Asean, serta Afrika Selatan dan Brazil.

“Itu menunjukkan kemungkinan hubungan yang boleh diwujudkan oleh Asean dengan kuasa baru seperti Amerika Latin dan Afrika. Jadi ini semua adalah langkah penting ke hadapan juga.

“Jadi secara keseluruhannya, ia merupakan tahun yang amat produktif di bawah kepengerusian Malaysia, dan kita telah mengambil langkah-langkah yang besar, mengambil langkah-langkah penting ke hadapan,” ujar Encik Wong.

Walaupun dunia sedang beralih kepada dunia berbilang kuasa di mana kedaulatan undang-undang atau kerjasama rentas sempadan “tidak berlaku secara automatik,” Encik Wong menambah, Asean masih mempunyai kuasa membentuk norma kerjasama dalam rantau ini.

Meskipun persekitaran luaran kian mencabar, Encik Wong berkata negara Asean juga telah mengiktiraf keperluan untuk kekal bersatu dan mengambil langkah kukuh untuk maju dan merapatkan ekonomi yang berbeza.

“Akan ada isu, akan ada perbezaan, tetapi kita tidak mampu berpecah belah. Kita tidak mampu untuk membenarkan pertikaian memecahbelahkan Asean, dan saya fikir itu bagus, terdapat rasa komitmen yang sangat kuat ke arah itu”.

Menjawab soalan tentang reaksi pemimpin Asean terhadap kehadiran kepimpinan Amerika dan China di sidang kemuncak itu, Encik Wong berkata pertemuan berasingan dengan Amerika dan China “berjalan dengan amat baik”.

Dengan Amerika, Encik Wong berkata para pemimpin menghargai Presiden Donald Trump telah meluangkan masa bersama Asean, membantu mengurangkan ketegangan sempadan antara Kemboja dengan Thailand, dan mengesah semula komitmen Amerika untuk menjadi rakan kongsi rantau ini.

“Seperti yang beliau katakan, beliau 100 peratus di belakang Asean, dan negara-negara Asean menghargainya kerana walaupun kita mungkin berada dalam peralihan kepada dunia berbilang kuasa, kita pastinya belum sampai ke tahap itu,” kata Encik Wong, sambil menyatakan bahawa Asean mahu menjalin hubungan baik dengan Amerika dan China.

Mengenai China, yang juga merupakan rakan dagang terbesar Asean, Encik Wong berkata negara-negara Asean mempunyai hubungan ekonomi yang sangat baik dan rapat dengannya, dan gembira dapat menandatangani Perjanjian Dagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0.

Sidang kemuncak tiga hari diakhiri dengan majlis penutupan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan Malaysia menyerahkan jawatan Pengerusi Asean kepada Filipina yang akan memimpin sidang kemuncak seterusnya pada 2026.

Ketika ditanya bagaimana Singapura merancang menyokong kepengerusian Filipina sambil bersiap sedia untuk gilirannya memimpin pada 2027, Encik Wong berkata beliau telah “mencatat nota lebih dari dahulu”.

“Setiap pengerusi Asean membina daripada usaha pengerusi sebelumnya. Jadi, bukannya keadaan di mana pengerusi baru datang dan membawa Asean ke arah yang berbeza.

“Setiap pengerusi membina daripada kerja pengerusi sebelumnya, jadi saya pasti Filipina akan berbuat demikian dengan Malaysia,” kata Encik Wong.

Pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean, Encik Wong turut menghadiri sidang kemuncak bersama New Zealand dan Australia.

Beliau turut mengadakan Mesyuarat Tahunan Pemimpin Singapura-Vietnam bersama Perdana Menteri Pham Minh Chinh dan mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg