Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Belanjawan 2025 bentang usaha tangani kos sara hidup, pekerjaan

Pemerintah komited untuk semak, tukar dan tetapkan semula dasar jika perlu
Nov 8, 2024 | 7:28 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata persiapan untuk Belanjawan 2025 telah pun bermula dan akan meliputi isu-isu penting seperti kos sara hidup dan jaminan pekerjaan.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata persiapan untuk Belanjawan 2025 telah pun bermula dan akan meliputi isu-isu penting seperti kos sara hidup dan jaminan pekerjaan. - Foto ST

Pemerintah telah mengambil langkah untuk menangani isu kos sara hidup dan keselamatan pekerjaan dan akan terus menanganinya dalam rundingan awam akan datang dalam Belanjawan 2025, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Beliau berkata isu-isu ini adalah antara kebimbangan yang sering timbul dalam kalangan penduduk semasa sesi pertemuannya bersama mereka.

Semasa sidang media pada 8 November di Pusat Akhbar Nasional di bangunan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) di Hill Street, Encik Wong berkata persiapan untuk Belanjawan 2025 telah pun bermula, dan sesi rundingan bersama orang ramai akan bermula pada Disember.

Terdapat empat tema luas – strategi ekonomi untuk sempadan seterusnya; peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pekerjaan untuk pekerja; sokongan untuk rakyat Singapura merentasi peringkat kehidupan yang berbeza; dan mengukuhkan semangat perpaduan rakyat Singapura sempena menyambut perayaan SG60.

“Tema-tema luas yang saya ketengahkan sebentar tadi untuk rundingan Belanjawan adalah berikutan daripada kebimbangan yang diketengahkan oleh rakyat Singapura.

“Oleh itu, kami menumpukan pada melihat apakah langkah yang boleh kami ambil, dasar, program dan skim baru yang mungkin boleh kami sediakan untuk menangani kebimbangan itu,” kata Encik Wong ketika ditanya Berita Harian (BH) mengenai maklum balas yang beliau terima daripada orang ramai.

Mengenai kos sara hidup, beliau mengakui terdapat dimensi berbeza selain harga makanan dan barangan runcit, dan ia juga meluas ke aspek seperti perumahan dan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE). 

Beliau memetik rangka kerja klasifikasi flat baru Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan subsidi yang dipertingkat bagi pemohon perumahan awam kali pertama sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani kebimbangan ini.

Bagi isu pekerjaan, beliau menyatakan bahawa isu tersebut bukan mengenai pengangguran keseluruhan semata-mata, kerana kadar pengangguran adalah rendah, tetapi bagaimana untuk memastikan pekerja berasa terlindung di tengah-tengah persekitaran global yang lebih bergelora.

“Orang ramai dapat merasakan bahawa terdapat lebih banyak perubahan di sekeliling kita. Dengan perubahan global, ketegangan geopolitik serta teknologi, orang ramai bimbang.

“Bukan sahaja tentang pekerjaan hari ini, tetapi bagaimana pula dengan pekerjaan saya di kemudian hari, dan apabila saya semakin tua – dan kita semua hidup lebih lama – adakah saya masih mempunyai pekerjaan yang baik dengan pendapatan tetap,” katanya.

Belanjawan akan datang akan melihat bagaimana pemerintah dapat membantu orang ramai meningkatkan kemahiran, dan juga memastikan pendapatan yang lebih baik, di samping usaha sedia ada seperti penambahbaikan kepada SkillsFuture, tambahnya.

Ia juga akan melihat bagaimana pemerintah dapat menyediakan sokongan untuk warga Singapura merentasi peringkat kehidupan yang berbeza seperti ketika memasuki tenaga kerja, memulakan keluarga atau pada fasa di mana mereka mungkin berasa tersepit menjaga ibu bapa tua dan anak mereka sendiri, kata Encik Wong.

Semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada Ogos, Encik Wong telah mengumumkan tentang skim baru untuk keluarga besar pada 2025.

Di sidang media beberapa hari kemudian, beliau berucap tentang usaha menangani penjagaan jangka panjang dan keperluan perumahan untuk warga tua, dan usaha untuk menangani tekanan kos sara hidup untuk keluarga yang lebih besar yang mempunyai lebih ramai anak kecil.

Encik Wong berkata pada 8 November bahawa beliau mengalu-alukan maklum balas, cadangan dan pandangan orang ramai untuk Belanjawan 2025, selaras dengan amalan biasa.

“Saya komited untuk melibatkan diri dan mendengar, menyemak, menukar dan menetapkan semula dasar di mana perlu, supaya bersama-sama kita boleh membawa Singapura ke hadapan, ke arah masa depan yang lebih adil, cerah dan lebih inklusif,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg