Sifat pilihan raya yang sangat memecahbelahkan, seperti yang dilihat di luar negara, merupakan peringatan penting bagi Singapura supaya mengekalkan perpaduan sosial dan mengelakkan polarisasi politik, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Beliau berkata pemerintah sedang mengambil langkah untuk mengekalkan perpaduan sosial, termasuk memperkenalkan undang-undang berhubung dengan pengedaran palsu mendalam, atau deepfake, dan menyeru semua pihak berkepentingan dalam pilihan raya, termasuk parti politik, supaya menjaga perpaduan Singapura.
Encik Wong berkata demikian dalam satu wawancara bersama media tempatan di Pusat Akhbar Nasional di bangunan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 8 November yang tertumpu kepada dasar luar negara.
Beliau turut menjawab soalan mengenai cabaran Singapura mengemudi dunia yang bergolak sebagai sebuah negara kecil, kebimbangan kos sara hidup penduduk dan pilihan raya yang akan datang.
“Kami cuba sedaya upaya untuk tidak menempuh jalan politik populisme dan oportunistik, dengan mencari jalan untuk memastikan masyarakat kita kuat dan bersatu, dan mengekalkan tahap kepercayaan yang tinggi kerana ianya penting agar Singapura kekal relevan dan terus bertahan dalam dunia baru ini,” kata Encik Wong.
Memberi contoh pilihan raya yang telah berlangsung di beberapa negara pada 2024, Encik Wong berkata:
“Kami sentiasa prihatin, bukan hanya dengan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini, tetapi juga pilihan raya di mana-mana, yang telah membawa kepada hasil di mana masyarakat menjadi lebih berpecah dan terpisah.
“Pilihan raya mungkin menghasilkan pemenang, namun akhirnya, rakyat menjadi lebih teruk kerana kesukaran untuk mentadbir dan memajukan negara.
“Kami sentiasa prihatin dan ia merupakan sebab mengapa kami gigih berusaha untuk melindungi masyarakat.
“Kami baru-baru ini telah mengemas kini undang-undang berkaitan pemalsuan mendalam dan potensi penyalahgunaan dan maklumat salah dalam pilihan raya,” kata Encik Wong.
Menurut Encik Wong juga, cara lain Singapura dapat melindungi dirinya adalah untuk terus mengukuhkan institusi negara dan memberikan penjelasan kepada rakyat Singapura mengenai pertimbangan negara.
“Kami berharap pada penghujung hari, rakyat Singapura sendiri yang akan melakukan bahagian mereka dan mereka dapat memahami apa yang dipertaruhkan,” kongsi Encik Wong sambil menekankan kepetingan untuk memilih parti yang betul untuk memerintah.
Menjawab pertanyaan mengenai Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC), yang boleh memberikan beberapa petunjuk mengenai garis masa pilihan raya, Encik Wong berkata bahawa pemerintah akan terus telus dan mengumumkan pembentukannya apabila tiba masanya.
“EBRC belum dibentuk. Apabila kami berbuat demikian, kami akan mengumumkannya, seperti yang selalu kami lakukan.
“Kami tidak akan melakukan perkara ini secara senyap-senyap,” ujar Encik Wong yang berkongsi beliau belum membuat keputusan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, yang perlu diadakan menjelang November 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg