Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, memberi penghormatan kepada Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) sulung beliau pada 18 Ogos.
Encik Wong menghargai bagaimana kedua-dua pemimpin itu menyumbang kepada zaman kanak-kanaknya dan perjalanan politiknya.
Selain Encik Lee dan Encik Goh, Encik Wong melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan pemerintah terdahulu atas pencapaian Singapura sepanjang 60 tahun lalu.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkongsi bahawa Encik Goh merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade semasa beliau tinggal di situ sebagai seorang kanak-kanak.
Menurut Encik Wong, Marine Parade adalah sebuah bandar baru ketika itu dan tadika terdekat agak jauh baginya.
Meskipun Encik Wong menghadiri tadika itu selama beberapa hari, beliau mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dan sering menangis.
“Ibu bapa saya akhirnya membenarkan saya tinggal di rumah, dan saya terlepas sebahagian besar tahun pertama saya di prasekolah.
“Nasib baik bagi saya, pada masa yang sama, Encik Goh menubuhkan sebuah tadika Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Marine Parade, yang terletak berhampiran rumah saya,” kongsi Encik Wong.
Beliau kemudian menghadiri tadika itu dan mempunyai guru yang baik dan menyesuaikan diri dengan baik.
Semasa beliau remaja pula, Encik Wong menerima anugerah pendidikan daripada Encik Goh.
Walaupun pada mulanya beliau tidak terfikir untuk menceburi bidang politik, Encik Wong memutuskan berkhidmat atas permintaan Encik Lee.
Sebagai seorang pegawai penjawat awam muda, Encik Wong berkongsi bahawa beliau bekerjasama dengan Encik Lee, yang ketika itu adalah Menteri Kewangan.
Setelah Encik Lee menjadi Perdana Menteri, beliau sedang mencari Ketua Setiausaha Sulit (PPS).
“Saya telah dicalonkan tetapi saya tidak menyangka akan mendapat pekerjaan itu. Namun, beliau memberi saya peluang untuk bekerja bersamanya.
“Saya tidak terfikir pun untuk menceburi politik. Terus terang, tiada seorang pun dalam keluarga atau rakan saya menjangka saya memilih jalan ini.
“Tetapi apabila Encik Lee bertanya kepada saya (mengenai memasuki politik) pada 2011, saya dapat melihat kesukaran yang dihadapinya dalam menubuhkan sebuah pasukan lebih muda.
“Saya telah berada dalam perkhidmatan awam cukup lama untuk mengetahui bahawa tanpa pemimpin politik berkesan, sistem kita tidak akan berfungsi dengan berkesan.
“Itulah sebabnya saya memutuskan untuk melangkah ke hadapan untuk berkhidmat,” ujar Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg