Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura mampu bersatu hadapi cabaran

Semangat kemasyarakatan penting ketika S’pura mula fasa baru pembinaan negara
Dec 14, 2024 | 4:38 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (berkemeja putih), bersama Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Jessica Tan (berdiri, tiga dari kiri) dan Cik Cheryl Chan (berdiri, dua dari kiri), beramah mesra dengan penduduk Simei di kafe terbaru Kelab Masyarakat (CC) Changi Simei pada 14 Disember.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (berkemeja putih), bersama Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Jessica Tan (berdiri, tiga dari kiri) dan Cik Cheryl Chan (berdiri, dua dari kiri), beramah mesra dengan penduduk Simei di kafe terbaru Kelab Masyarakat (CC) Changi Simei pada 14 Disember. - Foto ST

Singapura boleh menjadi “sinar cahaya” dan mampu bersatu untuk menghadapi cabaran.

Ia boleh menjadi stabil, selamat dan boleh dipercayai, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa satu acara masyarakat di Bedok pada 14 Disember.

Encik Wong menambah bahawa semangat kemasyarakatan adalah penting ketika Singapura memulakan fasa baru pembinaan negara dalam masa yang sukar.

“Anda boleh melihat di seluruh dunia apabila anda membaca berita. Dunia semakin bermasalah. Terdapat peperangan di Eropah, di Timur Tengah. Masyarakat semakin berpecah belah dan kepercayaan kian terhakis,” katanya.

Tidak lama selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Mei, Encik Wong berkata beliau merancang untuk melawat kawasan pilihan raya yang berbeza dan bertemu seberapa ramai rakyat Singapura.

Kawasan kejiranan yang pernah dilawatinya setakat ini termasuk Ang Mo Kio, Tampines dan West Coast, serta Simei dan Bedok yang dilawatinya pada 14 Disember.

Di Bedok, Encik Wong beramah mesra dengan penduduk berdekatan pusat penjaja yang terletak di Blok 58 Upper Changi Road, sebelum mengunjungi Rumah Terbuka Kelab Masyarakat (CC) Changi Simei.

Dalam satu hantaran Instagram pada hari sama, Encik Wong menulis:

“Kepulangan saya ke East Coast rasa seperti saya balik kampung. Saya masih ingat menaiki bas dari rumah ke pusat penjaja itu untuk makan!

“Semangat perkampungan di GRC East Coast memang kuat.

“Saya dengar banyak cerita yang menyentuh hati tentang jiran yang membantu antara satu sama lain pada masa yang memerlukan, dan penduduk melakukan bahagian mereka untuk memadamkan kebakaran sebelum Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tiba.”

Encik Wong disertai Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast – Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How; Timbalan Speaker, Cik Jessica Tan; dan Cik Cheryl Chan.

Semasa lawatannya ke Bedok, Encik Wong turut bertemu dengan 10 penduduk yang diberikan ‘Anugerah Jiran Baik Bedok’ kerana belas kasihan mereka terhadap jiran.

Di Rumah Terbuka CC Changi Simei pula, Encik Wong berpeluang meraikan kerja naik taraf beberapa ruangnya.

Sebuah perpustakaan dibuka di situ pada 2018 dan sebuah kafe baru dibuka pada 14 Disember.

Kafe itu, yang dibangunkan berdasarkan maklum balas daripada lebih 180 penduduk yang inginkan ruang mesra, bertujuan menjadi pusat untuk kegiatan yang melibatkan perkongsian ilmu seperti berkebun.

Cik Azliena Said, 59 tahun, ialah antara sukarelawan CC Changi Simei yang terlibat pada rumah terbuka itu.

“Sebagai seorang tukang kebun sukarela, saya mendidik penduduk kawasan ini tentang langkah-langkah yang betul untuk menanam tumbuhan, cara menyediakan tanah, serta cara membuat kompos.

“Sebelum saya menjadi sukarelawan, saya tidak kenal ramai penduduk di sini, tapi sekarang, sesetengah daripada mereka sudah jadi kawan rapat saya,” jelas Cik Azliena, yang sudah tinggal di Simei selama sekitar 30 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg