Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura mahu segera muktamad pakatan dagangan dengan rakan Indo-Pasifik

Jun 6, 2024 | 3:51 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa kemajuan telah dibuat menerusi Perjanjian Rantaian Bekalan.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa kemajuan telah dibuat menerusi Perjanjian Rantaian Bekalan. - Foto ST

Singapura berharap untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan negara anggota Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (IPEF), kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 6 Jun.

“Ini boleh difahami sebagai isu yang sukar dengan banyak bidang sensitif,” katanya dalam ucaptama di Forum Pelabur Ekonomi Bersih IPEF, acara sehari yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands di sini.

“Tetapi perdagangan adalah nadi negara-negara di rantau ini, dan kami berharap untuk mencapai persetujuan substantif yang akan meningkatkan aliran perdagangan dalam kalangan negara IPEF, dan meningkatkan kehidupan rakyat kami,” kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Dilancarkan pada 2022, IPEF terdiri daripada 14 negara anggota – Australia, Brunei, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Mereka mewakili 40 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) global dan 28 peratus daripada perdagangan barangan dan perkhidmatan global.

IPEF bertujuan menggalak kerjasama, kemakmuran dan keamanan melalui pelbagai inisiatif termasuk kemampanan, pertumbuhan ekonomi dan daya saing dalam kalangan negara anggota.

Rangka kerja ini direka bentuk untuk menyokong inisiatif melalui perjanjian mengenai empat tonggak IPEF – perdagangan, rantaian bekalan, ekonomi bersih dan ekonomi adil, menurut The Straits Times (ST).

Encik Wong mengumumkan bahawa kemajuan baik telah dicapai pada Perjanjian Rantaian Bekalan – yang mula berkuat kuasa pada Februari 2024 – manakala rundingan mengenai Ekonomi Bersih dan Perjanjian Ekonomi Adil telah dimuktamadkan pada 2023, dan akan ditandatangani pada 6 Jun.

Beliau berkata Singapura telah lama menjadi penyokong Amerika untuk melibatkan diri secara aktif di rantau ini, terutama Asia Tenggara.

“Negara-negara Asean juga berminat untuk mengeratkan hubungan dengan Amerika kerana mereka menyedari bahawa Amerika terus memainkan peranan yang amat diperlukan, sama ada dalam mengekalkan persekitaran strategik atau menyokong pertumbuhan ekonomi,” ujar beliau.

Bercakap secara khusus mengenai inisiatif ekonomi bersih, PM Wong berkata terdapat tiga bidang yang boleh diberi tumpuan oleh IPEF untuk mempercepatkan peralihan bersih-sifar – infrastruktur tenaga bersih, meningkatkan teknologi baru dan pembiayaan.

Beliau mengumumkan bahawa Vietnam, Singapura dan Amerika akan membentuk kumpulan kerja pembangunan kabel dasar laut di bawah naungan IPEF untuk meletakkan asas infrastruktur tenaga bersih di seluruh rantau yang boleh membantu negara yang mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui untuk mengeksport lebihan tenaga kepada negara jiran yang serba kekurangan seperti Singapura.

Menurutnya, Thailand dan Vietnam mempunyai potensi tinggi untuk tenaga solar dan angin daratan; Indonesia dan Filipina boleh mengakses angin luar pesisir dan geoterma. Sementara itu, di luar IPEF, dua negara Asean – Kemboja dan Laos – boleh memanfaatkan kuasa hidro.

“Kumpulan kerja akan memudahkan perkongsian pengetahuan dan membina konsensus mengenai isu kabel dasar laut di rantau ini, serta melihat cara untuk menggalak pelaburan dalam aset berintensif modal ini,” katanya lagi.

Beliau mengalu-alukan negara IPEF lain untuk menyertai usaha itu.

Mengenai bidang meningkatkan teknologi baru, Encik Wong berkata IPEF telah membuat sedikit kemajuan.

“Negara-negara sedang bekerjasama dan berkongsi kepakaran dalam bidang seperti hidrogen hijau, dan sedang meneroka kerjasama dalam bidang lain seperti bahan api penerbangan mampan.

“IPEF juga melancarkan dua inisiatif pembiayaan baru – Dana Iklim dan Dana Modal Pemangkin – untuk melabur dalam bidang yang akan membantu peralihan kepada ekonomi bersih,” katanya.

Beliau menambah bahawa terdapat skop untuk melakukan lebih banyak lagi, terutamanya dalam bidang penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) – proses memerangkap pelepasan karbon industri yang kemudiannya diangkut ke lokasi penyimpanan jangka panjang.

Menurut PM Wong, Indonesia menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membangunkan perundangan berkaitan CCS pada Januari 2024. Berikutan itu, Singapura telah menandatangani surat hasrat dengan Indonesia untuk bekerjasama dalam CCS, tambahnya.

“Dengan rangka kerja dan perundangan yang lebih jelas, kami berharap dapat memangkinkan penggunaan projek CCS rentas sempadan di Indo-Pasifik, dan mempercepatkan peralihan kepada sifar bersih,” ujar beliau.

Dalam bidang kewangan, PM Wong berkata Singapura sedang menyusun platform kewangan gabungan yang dipanggil Kerjasama Pembiayaan Peralihan Asia (Fast-P).

Setiausaha Perdagangan Amerika, Cik Gina Raimondo, mengucapkan terima kasih kepada anggota IPEF dalam mengubah idea dalam masa dua tahun sahaja kepada tercapainya tiga perjanjian – yang pertama seumpamanya yang mengukuhkan rantaian bekalan, menyokong peralihan ekonomi bersih dan meningkatkan persekitaran perniagaan yang telus dan boleh diramal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg