Singapura tidak pernah mengamalkan pendekatan laissez-faire (bebas daripada campur tangan) dalam aspek ekonomi, sebaliknya pemerintah campur tangan secara aktif dalam pelbagai bidang.

Ini dilakukan untuk menangani kegagalan pasaran, mengumpulkan sumber risiko dan mencapai matlamat sosial yang penting, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 30 September.

“Disebabkan pemerintah campur tangan, kita perlu melakukannya dengan betul.

“Kita perlu mengenal pasti masalah dengan tepat, memahami insentif yang kita wujudkan, mengakui kos serta pertukaran yang perlu dibuat, dan memikirkan dengan teliti kesan susulan pada peringkat kedua dan ketiga.

“Disiplin ini telah banyak membantu Singapura dan mengekalkan disiplin ini merupakan antara tanggungjawab terpenting Perkhidmatan Ahli Ekonomi (ES),” kata Encik Wong.

Berucap semasa sambutan ulang tahun ke-25 Perkhidmatan Ahli Ekonomi (ES) yang berlangsung di hotel Parkroyal Collection Pickering, Chinatown, Encik Wong berkata adalah wajar jika rakyat mengharapkan jawapan daripada pemerintah apabila mata pencarian terjejas dan mereka berasa bimbang tentang masa depan.

ES telah ditubuhkan pada 2001 untuk memperkukuh analisis ekonomi dalam penggubalan dasar awam.

Ibu pejabatnya terletak di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan pegawai ES ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi pemerintah untuk mengendalikan dasar berbeza berkaitan isu ekonomi, sosial, prasarana serta alam sekitar.

Mulai 1 Oktober, MTI dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI).

Oleh itu, pemerintah perlu membantu mereka yang terjejas akibat perubahan, melindungi golongan rentan serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dikongsi secara meluas, ujar Encik Wong.

Untuk berbuat demikian, beliau berkata Singapura perlu akur bahawa pasaran boleh mengalami kegagalan dan pasaran juga tidak dapat menyediakan perkara yang dianggap penting oleh masyarakat.

Mengulas lanjut tentang prinsip pemikiran ekonomi dan bagaimana ia berhubung dengan dasar pemerintah, beliau memberi beberapa contoh.

Antara lain, Encik Wong menekankan kepentingan harga, sebagai satu isyarat berkenaan sumber yang terhad, yang mempunyai permintaan tinggi, dan paling diperlukan.

Justeru, bagi harga air dan elektrik, Encik Wong berkata:

“Di Singapura kita membiarkan harga mencerminkan kos sebenar dan kekurangan sumber-sumber ini.

“Ini menggalakkan isi rumah dan perniagaan menggunakannya secara berhemah serta berjimat cermat.

“Namun, kita akur bahawa perkhidmatan ini merupakan keperluan asas dan mesti kekal dimampui.”

Dari segi kos, Encik Wong menambah bahawa kekangan tanah di Singapura mewujudkan kos melepas bagi setiap penggunaan.

Pemerintah tidak memperuntukkan tanah hanya kepada pembeli dengan harga tertinggi, sebaliknya mengutamakan keperluan rakyat seperti perumahan, pekerjaan, sekolah, taman, dan tempat ibadat, jelasnya.

Beliau menambah, rakyat sentiasa bertindak balas terhadap sebarang insentif.

Mengenai isu sokongan pengangguran, pemerintah sebelum ini mengambil pendekatan agak berwaspada kerana faedah berlebihan akan mengurangkan motivasi untuk kembali bekerja.

Namun, tanpa sokongan, pekerja yang terjejas mungkin terpaksa mengambil sebarang pekerjaan yang tidak sepadan dengan kemahiran mereka, jelas Encik Wong.

Penyelesaiannya, kata beliau, adalah melalui skim Sokongan Pencari Kerja SkillsFuture, yang menyediakan bantuan kewangan sementara, sambil mewajibkan penerima mencari kerja atau menjalani latihan bagi mengekalkan insentif untuk bekerja semula.

“

“Disebabkan pemerintah campur tangan, kita perlu melakukannya dengan betul. Kita perlu mengenal pasti masalah dengan tepat, memahami insentif yang kita wujudkan, mengakui kos serta pertukaran yang perlu dibuat, dan memikirkan dengan teliti kesan susulan pada peringkat kedua dan ketiga.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.