Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih banyak isi rumah bakal raih manfaat daripada inisiatif CDC North West
Keluarga bayi baru lahir boleh terima pek bayi bernilai hingga $200 mulai Apr 2027
Lebih banyak isi rumah bakal raih manfaat daripada inisiatif CDC North West
Lebih banyak isi rumah, termasuk keluarga muda yang mempunyai bayi baru lahir, bakal mendapat bantuan tambahan daripada sokongan sosial dan kewangan yang lebih besar berikutan beberapa penambahbaikan yang diumumkan oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West pada 18 September.
Sebanyak 6,000 lagi penduduk kini akan layak untuk memohon skim bantuan kewangan yang dikendalikan oleh CDC North West susulan semakan semula had pendapatan per kapita (PCI) daripada $1,000 kepada $1,500.
Di samping itu, sehingga 3,000 keluarga yang mempunyai bayi baru lahir pada setiap tahun juga boleh menerima pek bayi North West mulai April 2027.
Ia mengandungi barangan keperluan asas bayi dan baucar bernilai sehingga $200 bagi membantu keluarga muda memulakan perjalanan sebagai ibu bapa.
Penambahbaikan tersebut diumumkan oleh Mayor CDC North West, Encik Alex Yam, di Majlis Pelantikan dan Mesyuarat Daerah North West 2026, di Pusat Kapal Persiaran Marina Bay Singapura.
Seramai 62 Ahli Majlis Daerah, termasuk 25 ahli baharu, memulakan penggal perkhidmatan tiga tahun yang baharu.
Acara itu turut dihadiri Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, sebagai tetamu terhormat.
“Masyarakat yang teguh bukanlah masyarakat di mana CDC melakukan segala-galanya. Ia adalah masyarakat di mana lebih ramai orang percaya bahawa mereka boleh melakukan sesuatu.
“Peranan kami adalah untuk menghubungkan masyarakat, menyediakan sumber dan membantu idea-idea yang baik bercambah,” kata Encik Yam, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee.
Di bawah penggal baharu itu, CDC North West juga menyasarkan untuk meningkatkan bilangan projek akar umbi yang disokong daripada sekitar 300 kepada 400 projek dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan menggalakkan orang awam memanfaatkan Dana WeCare North West dan Dana Giraffe North West.
Sukarelawan, sekolah, kumpulan masyarakat dan organisasi boleh memohon dana itu yang menyediakan pembiayaan hingga $10,000 bagi setiap projek untuk inisiatif masyarakat dan alam sekitar, menurut CDC North West dalam satu kenyataan.
Bagi menyediakan lebih banyak sokongan kepada setiap divisyen untuk membantu penduduk mereka, ia juga akan mempertingkatkan Geran Padanan Bahagian (DMGV), dengan menaikkan nisbah padanan daripada 1:1.5 kepada 1:2.5, tertakluk kepada had maksimum $80,000 bagi setiap divisyen.
“Dengan penambahbaikan itu, setiap divisyen akan mempunyai keupayaan yang lebih besar untuk membangunkan inisiatif yang memberi respons keperluan penduduk, memperkukuh ikatan kemasyarakatan serta memupuk keharmonian dan perpaduan kaum,” kata CDC North West dalam satu kenyataan.
Ia menambah bahawa antara tahun kewangan (FY) 2023 hingga FY 2025, kesemua 18 program bantuan tempatannya telah menyokong 198,587 penerima manfaat, manakala 47 program masyarakat telah melibatkan 402,339 peserta.
Ia juga telah bekerjasama dengan 1,738 rakan kongsi, mengerahkan 37,096 sukarelawan, dan menyokong 330 kumpulan minat khas yang menghubungkan lebih 80,000 ahli di seluruh daerah dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, salah seorang daripada 62 Ahli Majlis Daerah, Cik Siti Nuraisha Safri, 30 tahun, meluahkan rasa berbesar hati dapat terus berbakti kepada warga CDC North West sejak menyertai majlis tersebut pada 2019.
Pekerja Sosial Perubatan di Hospital Tan Tock Seng itu kini menyertai Jawatankuasa Sokongan Sosial, selepas berkhidmat dalam Jawatankuasa Rakan Kongsi dan Pendekatan pada dua penggal sebelumnya.
Mula sebagai sukarelawan di CDC North West sejak umurnya 15 tahun, Cik Nuraisha percaya suara anak muda sepertinya penting dalam melakar program yang sesuai untuk masyarakat.
“Generasi muda mempunyai banyak potensi dalam membina atau memperkukuh ikatan kemasyarakatan, terutamanya antara pelbagai peringkat umur kerana kita mempunyai perspektif baharu.
“Saya juga percaya kita mempunyai pemahaman tentang lanskap semasa dan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
Ahli Majlis berperanan seperti Lembaga Pengarah di organisasi lain yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin idea serta hala tuju fungsi Majlis, di mana mereka dipilih berdasarkan keupayaan untuk menyumbang dan berkhidmat kepada masyarakat.
Dilantik oleh Pengerusi Persatuan Rakyat (PA) – Encik Wong – atau Timbalan Pengerusi PA, Encik Edwin Tong – para ahli umumnya boleh dilantik untuk berkhidmat sehingga tiga penggal berturut-turut dengan tempoh tiga tahun bagi setiap penggal.
