Para pemandu boleh menjangkakan sambungan kepada Jejambat Tuas yang sedia ada dan penambahbaikan rangkaian jalan raya di Tuas Selatan, yang akan siap secara berperingkat-peringkat mulai 2030.
Pembinaan Jejambat Tuas Road (Fasa Kedua, TRV2) yang merupakan sambungan Jejambat Tuas yang ada, akan bermula pada 2025, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada 2 Ogos, lapor The Straits Times.
Pada masa yang sama, kerja-kerja pembaikan jalan juga akan dilakukan di sepanjang Tuas South Avenue 3, Tuas South Boulevard, Pioneer Road dan Tuas South Avenue 5, tambah pihak berkuasa.
Peningkatan kepada rangkaian jalan raya ini adalah untuk menyokong pembangunan perindustrian di Tuas Selatan, di samping pertumbuhan akan datang dalam aktiviti pelabuhan kontena di pelabuhan mega Tuas.
Dijadual siap sepenuhnya pada tahun 2040-an, Pelabuhan Tuas sedang dibangunkan dalam empat fasa, dengan sembilan dermaga kontena telah mula beroperasi setakat Julai.
LTA dan SLA menyatakan bahawa dengan penambahbaikan itu, pengguna jalan raya boleh menjangkakan sambungan yang lebih baik dan perjalanan lebih singkat di kawasan itu, kerana Jejambat Tuas baru itu akan menghubungkan Ekspreswe Ayer Rajah dan Ekspreswe Rentas Pulau di utara dengan lebih baik ke estet perindustrian dan Pelabuhan Tuas di selatan.
LTA akan membuat pengumuman tender untuk kerja-kerja itu secara progresif mulai suku ketiga 2024.
Bagi memudahkan pembinaan fasa kedua Jejambat Tuas Road dan kerja-kerja jalan berkaitan, sebanyak 2,293 meter persegi tanah privet akan diambil alih oleh pemerintah, berdasarkan notis yang disiarkan dalam Warta Pemerintah pada 2 Ogos.
Terletak di tujuh kawasan hartanah yang dimiliki JTC Corporation, lot-lot itu kini disewakan kepada entiti swasta.
Pengambilalihan itu, bagaimanapun, tidak akan menjejas bangunan dan operasi sedia ada, tambah pihak berkuasa, kerana ia hanya melibatkan ciri sampingan seperti dinding sempadan dan pagar.
Kedua-dua agensi berkata mereka akan bekerjasama dengan pihak yang terjejas dan membantu mereka sepanjang proses pemerolehan.
Menjangkau 4.8 kilometer dari Tuas Road ke Tuas West Road, Jejambat Tuas dibuka pada 18 Februari 2017.
Jejambat itu beroperasi sebagai jalan dua lorong tetapi boleh dikembangkan kepada jalan tiga berkembar pada masa hadapan untuk menyokong “jangka panjang pembangunan dalam kawasan Tuas”.
“Jejambat jalan itu akan menyediakan pengguna jalan raya alternatif kepada Pioneer Road yang sibuk,” kata Encik Andrew Yap, pengarah projek sambungan Tuas West di LTA.
Jejambat itu juga akan menghubungkan jajaran 2.4 kilometer sambungan MRT Tuas West yang akan datang, termasuk stesen Tuas Crescent dan Tuas West Road.
Jejambat itu adalah yang pertama di Singapura yang mempunyai kedua-dua komponen jalan raya dan rel, dengan anggaran gabungan kira-kira $3.5 bilion untuk kedua-dua jejambat jalan dan sambungan rel.
Untuk mengendalikan tekanan tambahan, jejambat itu disokong oleh 94 tiang, setiap satunya mampu menyokong tiang seberat 13,000 tan.
Ini adalah lebih daripada enam kali beban tiang untuk bahagian berdiri bebas jejambat rel lanjutan Tuas West, yang boleh menampung 2,100 tan.
Untuk mengelakkan kekeliruan, papan tanda arah baru dipasang untuk membantu pemandu mengemudi kawasan tersebut.
Jejambat itu dibina untuk menampung peningkatan trafik daripada pembangunan akan datang di kawasan itu.
Ini termasuk Pelabuhan Tuas, yang dijangka mengendalikan semua aktiviti pelabuhan Singapura mulai 2027.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg