Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menunjukkan ketulusan dan keprihatinan yang mendalam terhadap isu-isu yang dekat di hati masyarakat Melayu/Islam semasa menyampaikan ucapan sulungnya di Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos.
Beberapa individu dan pemimpin masyarakat yang dihubungi Berita Harian (BH) berpendapat intipati ucapan Encik Wong terutama ucapannya dalam bahasa Melayu telah membangkitkan semangat dan memberi mereka harapan.
Antara lain mereka mendapati anjakan minda pemerintah ke arah mencapai kejayaan dalam bidang bukan akademik sebagai satu langkah positif.
Berkongsi pandangannya, guru muzik dan pengasas NJ Studio, Cik Nabillah Jalal – antara yang disebut Encik Wong dalam ucapannya – berasa teruja terhadap hala tuju yang diambil untuk meluaskan lagi definisi kejayaan agar dapat memupuk keyakinan diri dalam individu untuk menceburi pelbagai bidang, termasuk yang bukan akademik.
Seorang lagi yang disebut namanya oleh Encik Wong, usahawan Encik Hafiz Kasman, pula berkata:
“Generasi pemerintah baru ini mengakui bahawa sebenarnya tantangan pada masa hadapan adalah sangat berat, sulit dan mencabar.
“Rancangan yang telah pemerintah siapkan untuk menangani rintangan akan datang nanti itu juga tidak berbelah bagi dan ia memberi harapan kepada masyarakat kerana walaupun terdapat halangan, namun ia akan dapat diatasi lebih-lebih lagi jika pemerintah berganding bahu bersama masyarakat.”
Beberapa pemimpin Melayu/Islam turut berkongsi dengan BH bagaimana intipati ucapan Encik Wong dalam bahasa Melayu menunjukkan penghargaan dan penghormatan beliau terhadap bahasa dan budaya Melayu.
Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata ia satu pengiktirafan bagi bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Singapura.
“Penggunaan Bahasa Melayu dalam ucapannya juga mencerminkan keprihatinan beliau terhadap masyarakat Melayu/Islam, memastikan mesej penting disampaikan dalam bahasa yang paling dekat dengan hati mereka.
“Ia juga memperkukuhkan lagi hasrat pemerintah untuk mengekalkan identiti dan warisan budaya.
“Ucapan beliau memberi dorongan kepada masyarakat Islam untuk terus berusaha meningkatkan diri, menyumbang kepada masyarakat dan berperanan aktif dalam pembangunan negara dan ini sesuatu yang penting untuk kita memastikan masyarakat Melayu/Islam di sini terus mencapai kecemerlangan,” kata Ustaz Fathurrahman yang berharap masyarakat Singapura akan mengambil inspirasi daripada mesej Encik Wong mengenai kepentingan perpaduan, inklusiviti serta kemajuan bersama.
Sependapat, Presiden Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain, berkata ucapan Encik Wong mencerminkan rasa hormat yang mendalam terhadap masyarakat dan mengiktiraf bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada kepelbagaian budaya di Singapura.
“Penyampaian beliau dalam bahasa Melayu bukan sahaja menyerlahkan kemajuan dan pencapaian masyarakat Melayu/Islam, malah menekankan komitmen beliau untuk menyokong pertumbuhan berterusan kita.
“Saya berharap inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan dapat memangkinkan lagi integrasi dan mengukuhkan persefahaman dan fabrik masyarakat kita,” ujar Encik Nassar.
Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, berkata pengumuman perubahan oleh Encik Wong yang berani dan tegas menunjukkan kepimpinan masa hadapan Singapura dan masyarakat yang ingin beliau bentuk untuk Singapura.
“Perubahan kepada pendidikan, sokongan untuk pembelajaran dewasa sepanjang hayat serta perubahan kepada cuti ibu bapa dan sokongan untuk keluarga adalah yang paling dekat di hati saya.
“Saya juga tidak sabar menantikan penyiapan Kolej Pengajian Islam Singapura dan bagaimana ia dapat menyokong lagi kehidupan sosio-agama di Singapura, di samping menyumbang secara lebih meluas kepada kepimpinan pemikiran Islam dan agama, terutama untuk minoriti Islam di dunia,” kata Dr Syed Harun.
Pengerusi Casa Raudha yang juga anggota lembaga pengarah Masjid Al-Falah, Cik Shahrany Hassan, berkata kebolehan Encik Wong menyelami kisah serta pengalaman peribadinya dengan azam nasional menyerupai satu perbualan dan bukannya ucapan.
Namun, Encik Wong tidak memperkecilkan realiti dan cabaran yang dihadapi oleh Singapura, tambah Cik Shahrany.
Sokongan yang akan diberikan kepada mereka yang diberhentikan kerja, cuti tambahan ibu bapa, peralihan Sekolah Sukan, langkah-langkah untuk mewujudkan masyarakat aktif serta mengutamakan golongan bujang untuk menetap berhampiran dengan keluarga mereka amat “dialu-alukan”, katanya lagi.
“Dalam ekonomi yang berubah pesat hari ini, pembelajaran sepanjang hayat menjadi satu keperluan, dan bukanlah satu kemewahan.
“Jika anda mempunyai kemahiran yang boleh disumbang kepada masyarakat, walaupun kemahiran insaniah, jadilah sukarelawan atau pembimbing (mentor) bersama pelbagai organisasi agar dapat menjadi contoh dan teladan kepada mereka yang mungkin masih terperangkap dalam kitaran yang kurang baik,” kata Cik Shahrany.
“
“Ucapan beliau memberi dorongan kepada masyarakat Islam untuk terus berusaha dalam meningkatkan diri, menyumbang kepada masyarakat, dan berperanan aktif dalam pembangunan negara dan ini sesuatu yang penting untuk kita memastikan masyarakat Melayu/Islam di sini terus mencapai kecemerlangan.”“
“Penyampaian beliau dalam bahasa Melayu bukan sahaja menyerlahkan kemajuan dan pencapaian masyarakat Melayu/Islam tetapi juga menekankan komitmen beliau untuk menyokong pertumbuhan berterusan (masyarakat) kita.”“
“Saya juga tidak sabar menantikan penyiapan Kolej Pengajian Islam Singapura dan bagaimana ia dapat menyokong lagi kehidupan sosio-agama di Singapura, di samping menyumbang secara lebih meluas kepada kepimpinan pemikiran Islam dan agama terutamanya untuk minoriti Islam di dunia.”“
“Jika anda mempunyai kemahiran yang boleh disumbang kepada masyarakat, walaupun kemahiran insaniah, jadilah sukarelawan atau pembimbing (mentor) bersama pelbagai organisasi agar dapat menjadi contoh dan teladan bagi mereka yang mungkin masih terperangkap dalam kitaran yang kurang baik.”“
“Rancangan yang telah pemerintah siapkan untuk menangani rintangan akan datang nanti itu juga tidak berbelah bagi dan ia memberi harapan kepada masyarakat kerana walaupun terdapat halangan, namun ia akan dapat diatasi lebih-lebih lagi jika pemerintah berganding bahu bersama masyarakat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg