Walaupun pandemik Covid-19 telah berakhir, risiko kepada kesihatan global tetap ada dan sistem kesihatan antarabangsa terus di bawah tekanan yang besar.
“Keperluan untuk tindakan yang diselaraskan kini bertambah penting,” kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam mesej video bagi Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 di Geneva pada 20 Mei.
Beliau berkata bahawa Singapura tetap komited untuk memainkan peranannya untuk kesihatan global.
“Penyakit di mana-mana boleh menjadi ancaman di mana-mana, virus tidak mengenal sempadan.
“Satu-satunya jalan ke hadapan adalah untuk kita semua menangani cabaran kesihatan global bersama-sama.”
Mengulangi pendirian Singapura, Encik Wong berkata Republik ini “teguh komited kepada sistem berbilang pihak yang terbuka, stabil dan berasaskan peraturan”, dan juga menyatakan bahawa masalah global memerlukan penyelesaian global.
Itulah sebabnya Singapura tetap teguh menyokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan peranannya dalam tadbir urus kesihatan global, katanya.
Mencerminkan komitmen negara terhadap keselamatan kesihatan global, Singapura adalah antara yang pertama berikrar kepada Pusingan Pelaburan WHO pada 2024, menyumbang $24 juta.
Dengan melakukan demikian, ia akan membantu menjamin sumber untuk kerja-kerja utama agensi itu dari 2025 hingga 2028.
Encik Wong juga menarik perhatian tentang Singapura menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Filantropi Asia, yang menyediakan platform untuk organisasi dermawan menyokong tujuan yang bermakna, termasuk sistem penjagaan kesihatan yang lebih berdaya tahan.
Beliau juga berkata bahawa WHO telah menunjukkan bahawa kerjasama antarabangsa mampu diteruskan walaupun terdapat ketidaktentuan dalam landskap dunia.
Walaupun terdapat perbezaan yang mendalam, negara-negara dapat mencapai kesepakatan mengenai Perjanjian Pandemik pada April, “selepas tiga tahun rundingan yang sukar melalui diplomasi yang berterusan”.
Perjanjian itu bertujuan untuk meningkatkan persediaan global dan tindak balas terhadap pandemik masa depan, kata Encik Wong, yang menyebutnya sebagai perkembangan yang menggalakkan untuk kesihatan global dan multilateralisme.
Beliau berkata: “Ia mengingatkan kita tentang apa yang boleh kita capai sebagai masyarakat antarabangsa apabila negara bersatu untuk mencari titik persamaan dan menjalin penyelesaian bersama.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg