Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong hadir Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila 15-17 Nov
Sidang kemuncak terakhir sebelum S’pura jadi pengerusi Asean pada 2027
PM Wong hadir Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila 15-17 Nov
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean yang ke-49 dan sidang yang berkaitan di Manila, Filipina dari 15 hingga 17 November.
Sidang itu merupakan sidang kemuncak Asean yang kedua diadakan pada 2026, dengan yang pertama diadakan di Cebu pada Mei lalu.
Ini juga adalah Sidang Kemuncak Asean yang terakhir di bawah jawatan pengerusi bergilir Filipina untuk 2026 sebelum Singapura mengambil alih jawatan itu pada 2027 bersempena dengan ulang tahun ke-60 Asean.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 14 November berkata di sidang kemuncak yang ke-49 itu, para pemimpin Asean akan mengesahkan komitmen mereka terhadap usaha pembangunan masyarakat blok serantau itu dan membincangkan cara mempromosikan seni bina serantau yang terbuka dan inklusif.
Mereka akan turut membincangkan peluang dalam ekonomi digital dan hijau, termasuk usaha memperkukuh keselamatan dan daya tahan tenaga Asean untuk mempercepatkan peralihan tenaga hijau rantau ini dan untuk berdepan dengan kejutan luaran dengan lebih baik.
Selain itu, mereka akan membincangkan pengukuhan kerjasama dengan rakan-rakan luar Asean untuk memajukan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di rantau ini.
Tema kepengerusian Filipina bagi Sidang Kemuncak Asean ialah ‘Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama’, yang mengetengahkan komitmen Asean untuk memperdalam penyepaduan, memperkukuh kerjasama ekonomi, dan mengharungi cabaran global yang sentiasa berkembang dengan semangat perpaduan dan keutuhan.
Isu seperti jaminan tenaga, kecerdasan buatan (AI), pencemaran jerebu rentas sempadan, serta krisis di Myanmar, ketegangan antara Thailand dengan Kemboja dan pertikaian di Laut China Selatan dijangka meliputi agenda bagi Sidang Kemuncak Asean ke-49 itu.
Beberapa acara akan diadakan di sidang kemuncak tersebut.
Antaranya, Asean akan membentangkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (DEFA), iaitu satu pencapaian penting yang akan membantu Asean membangunkan peraturan digital terbuka, dipercayai dan saling boleh dikendali merentas rantau ini.
Selain itu, Encik Wong akan bertemu dengan rakan sejawatnya di sidang Asean bersama rakan dialog, termasuk Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, serta juga di Sidang Kemuncak Asean Plus Three (iaitu Asean bersama China, Jepun dan Korea Selatan) dan Sidang Kemuncak Asia Timur.
Rumah Putih telah menyatakan bahawa Presiden Amerika, Encik Donald Trump, akan mengadakan sidang khas bersama Asean pada 17 November, menurut laporan Reuters.
Pelbagai kenyataan mengikut tema tertentu akan disampaikan semasa sidang-sidang tersebut, bagi menonjolkan pencapaian penting serta hasil kerja yang nyata dalam kerjasama antara Asean dengan rakan-rakannya.
Encik Wong akan memberikan ucapan yang tertumpu kepada langkah praktikal untuk memperdalamkan lagi kerjasama Asean dengan rakan luarnya, terutamanya dalam penyepaduan digital dan jaminan tenaga.
Majlis penutup Sidang Kemuncak Asean yang ke-49 pada 17 November akan menyaksikan penyerahan simbolik kepengerusian dari Filipina kepada Singapura.
Encik Wong akan diiringi isteri, Cik Loo Tze Lui, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, di sidang kemuncak tersebut.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), Encik Gan Kim Yong, akan menjadi Pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan Encik Wong.