Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong hadiri Rahat Pemimpin SG-Indo di Jakarta pada 6 Julai
PM Wong hadiri Rahat Pemimpin SG-Indo di Jakarta pada 6 Julai
PM Wong hadiri Rahat Pemimpin SG-Indo di Jakarta pada 6 Julai
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong akan melawat Jakarta, Indonesia pada 6 Julai untuk menghadiri Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia yang dihoskan oleh Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.
Ini merupakan Rahat Pemimpin kedua yang diketuai oleh kedua-dua pemimpin negara itu – dengan yang pertama telah diadakan di Singapura pada Jun 2025.
Pada pertemuan kali ini, kedua-dua pemimpin akan menerima maklumat terkini mengenai projek dua hala yang telah dijalankan sejak Rahat Pemimpin terakhir.
Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 5 Julai, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global.
“Rahat Pemimpin ini mengesahkan semula hubungan dua hala yang mendalam dan berkekalan antara Singapura dengan Indonesia, serta komitmen kedua-dua pemerintah untuk memperdalam kerjasama dua hala.
“Para pemimpin akan meneroka laluan untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang kepentingan dan manfaat bersama untuk Singapura dan Indonesia,” kata PMO.
Semasa lawatannya ke Indonesia, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Timbalan Perdana Menteri (DPM) merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Turut hadir ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng.
Semasa ketiadaan Encik Wong, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam akan menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Perdana Menteri, kata PMO.
Rahat Pemimpin merupakan mesyuarat peringkat tertinggi antara Singapura dengan Indonesia.
Ia diadakan secara bergilir di setiap negara, dengan Indonesia menjadi tuan rumah bagi mesyuarat pada 2026.
Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Singapura-Indonesia pada 2027.
Pada 2025, kedua-dua negara telah menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai perdagangan elektrik rentas sempadan, penangkapan dan penyimpanan karbon, serta zon perindustrian mampan.
