Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong hadiri Sidang Puncak Asean ke-46 di KL dari 26-27 Mei

May 25, 2025 | 6:00 PM
PM Wong, Sidang Puncak Asean, KL
Sidang Puncak Asean ke-46 dan Sidang Berkaitan akan berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia dari 26 hingga 27 Mei, dan akan dihadiri oleh pemimpin negara-negara Asean, termasuk Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. - Foto REUTERS

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan menghadiri Sidang Puncak Asean ke-46 dan Sidang Berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, dari 26 hingga 27 Mei.

Ini merupakan yang pertama daripada dua sidang puncak yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025 – diadakan di tengah-tengah ketidaktentuan dasar perdagangan dan tarif Amerika Syarikat yang menjejas prospek global.

Lawatan Encik Wong itu, yang juga Menteri Kewangan, diadakan menyusuli upacara angkat sumpah Kabinet baru yang diadakan di Istana pada 23 Mei.

Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, sidang puncak tersebut akan mengetengahkan agenda memandang ke hadapan dan keutamaan Asean dalam membina sebuah rantau yang bersatu padu dan berdaya tahan di tengah-tengah cabaran geopolitik dan ekonomi.

Dalam satu kenyataan pada 25 Mei, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata di sidang puncak tersebut, pemimpin negara-negara Asean akan mengesahkan komitmen mereka terhadap usaha penyepaduan dan pembangunan masyarakat rantau itu.

Ini selain membincangkan cara untuk terus menggalak seni bina serantau yang bebas, terbuka dan inklusif dalam Asean dan dengan rakan kongsi luar.

“Mereka juga akan membincangkan langkah memperkukuh daya tahan Asean dengan menjadikan perdagangan di dalam Asean lebih lancar dan memanfaatkan bidang pertumbuhan baru seperti ekonomi digital dan hijau,” kata PMO.

Di samping itu, Encik Wong dan rakan sejawatnya dalam Asean juga akan membincangkan cara memperluas pendekatan rantau itu dengan rakan kongsi luar, terutamanya Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China di Sidang Puncak Asean-GCC kedua dan Sidang Puncak Asean-GCC-China.

Kedua-dua sidang puncak tersebut akan berlangsung pada 27 Mei.

Sidang Puncak Asean-GCC yang pertama berlangsung pada 2023 di Riyadh, Arab Saudi, di mana kedua-dua blok rantau itu melakarkan agenda lima tahun mereka dan memutuskan untuk mengadakan sidang puncak setiap dua tahun, diadakan secara bergilir-gilir antara rantau GCC dengan Asean.

GCC dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Oman.

Sementara itu, Sidang Puncak Asean-GCC-China pula diadakan buat julung-julung kalinya – sebuah gagasan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim – dan akan dihadiri oleh Perdana Menteri China, Encik Li Qiang.

Encik Wong akan diiringi isteri, Cik Loo Tze Lui, dan juga Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam lawatannya ke Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, akan menjalankan peranan sebagai Pemangku Perdana Menteri pada 25 dan 26 Mei semasa ketiadaan Encik Wong.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K Shanmugam, pula akan menjalankan peranan sebagai Pemangku Perdana Menteri pada 27 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg