Sidang Puncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur yang akan menyaksikan kehadiran pemimpin besar dunia seperti Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat kali pertama melaksanakan penugasan keselamatan terbesar dalam sejarah penganjuran acara antarabangsa di Malaysia.
Lebih 10,000 pegawai dan anggota PDRM akan ditugaskan sepanjang sidang puncak Asean yang berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini, bagi memastikan aspek keselamatan dan kelancaran sepanjang persidangan berlangsung.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata puluhan ribu petugas termasuk PDRM dan Kementerian Luar serta pelbagai agensi kerajaan lain sudah bersiap sedia menyambut ketibaan delegasi antarabangsa dari 11 negara Asean termasuk penyertaan Timor Leste.
Beliau berkata Encik Trump dijadual tiba di Malaysia pada 26 Oktober bagi menghadiri Sidang Puncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur, dan akan pulang keesokannya iaitu pada 27 Oktober, selepas menghadiri beberapa mesyuarat.
Datuk Anwar berkata sidang kali ini juga dijangka menyaksikan pemeteraian penyelesaian dua negara berkonflik iaitu Thailand dan Kemboja, menyusuli kejayaan Malaysia membantu menyelesaikan pertikaian sempadan dua negara terbabit dalam beberapa siri pertemuan pemimpin dan badan pertahanan kededua negara sebelum ini di Kuala Lumpur.
Beliau berkata pemeteraian penyelesaian itu bakal disaksikannya bersama Encik Trump.
“Seperti mana yang sudah sedia maklum, bukan saja pertemuan yang saya pengerusikan sekali, tetapi juga sudah berulang kali pertemuan diadakan antara ketua-ketua pasukan bersenjata Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur serta menteri-menteri luar Kemboja dan Thailand.
“Baru-baru ini Menteri Pertahanan Kemboja dan Thailand (bertemu) untuk memeterai syarat terperinci dan sekiranya disepakati dalam satu dua hari ini, pemeteraian ini akan disaksikan oleh saya dan Encik Trump yang turut mendukung penyelesaian ini,” katanya pada sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 23 Oktober.
Datuk Anwar berkata Sidang Puncak Asean kali ini juga istimewa dan bakal mencatat sejarah baru dengan kehadiran pimpinan dunia dari benua Asia, Amerika, Eropah, Latin Amerika dan Afrika, diwakili negara-negara utama di rantau masing-masing.
“Selain Encik Trump dan Encik Li, Perdana Menteri Australia, Jepun, New Zealand dan Presiden Korea serta Timbalan Perdana Menteri Russia akan hadir, menandakan kebangkitan semula semangat Asean berpaksikan nilai kesederhanaan, perpaduan serta kesejahteraan bersama,” ujarnya.
Beliau berkata dalam pada itu Sidang Puncak Asean kali ini juga bersejarah kerana Asean akan meraikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11, sekali gus melambangkan keterangkuman dan semangat kekeluargaan rantau ini yang semakin kukuh.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata seramai 10,170 pegawai dan anggota PDRM digerakkan daripada pelbagai jabatan serta unit taktikal bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang tempoh Sidang Puncak Asean yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“Pergerakan tetamu dari hotel ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur berjalan lancar dan pengumuman awal oleh pihak trafik kepada umum turut membantu melancarkan perjalanan keseluruhan delegasi,” katanya selepas meninjau raptai delegasi sempena Sidang Puncak Asean Ke-47, pada 23 Oktober.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg