Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berharap dapat melihat barisan pasukan pemimpin baru generasi kelima (5G) pemerintah menjelang Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, yang katanya, akan diadakan pada 2030, atau “mungkin lebih awal”.
Ini sedang beliau menyegarkan semula pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan 27 Anggota Parlimen (AP) baru, dan memperbaharui Kabinetnya sejak parti itu memenangi 65.57 peratus undi semasa GE2025 yang diadakan pada Mei.
“Kini, kita mempunyai Kabinet yang sebahagian besarnya terdiri daripada menteri 4G, dengan beberapa veteran 3G. Tidak lama lagi, ia akan menjadi Kabinet 4G dengan beberapa menteri 5G.
“Dan menjelang pilihan raya akan datang, saya berharap kita dapat mula melihat barisan pasukan 5G baru,” kata Encik Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP.
Encik Wong berkata demikian semasa berucap kepada lebih 1,800 aktivis parti di Majlis Anugerah dan Persidangan PAP 2025 pada 9 November yang diadakan di Singapore Expo.
Semasa ucapannya, beliau berkata beliau masih mencari rakyat Singapura yang berkebolehan, dan yang mempunyai keyakinan untuk berkhidmat, serta lebih ramai pemegang jawatan berpotensi yang bersedia untuk tampil berkhidmat dalam politik.
Beliau menambah proses pembaharuan “tidak boleh berhenti” dan partinya juga sedang meneruskan usahanya untuk menyegarkan diri, dan mendekati lebih meluas dengan rakyat Singapura dari semua lapisan masyarakat.
Pada Mei, Encik Wong melantik tujuh AP baru ke dalam Kabinetnya dan menaikkan pangkat dua AP sedia ada.
Antara anggota 3G yang masih dalam Kabinet ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Untuk mencapai matlamat parti dalam menyampaikan manifestonya dan membentuk politik yang bersih, jujur dan bernas di Singapura, Encik Wong berkata PAP perlu memastikan ia mendapat menarik orang terbaik – dari segi kecekapan dan keperibadian – untuk menjayakannya.
“Begitulah cara kita mewariskan obor, dari satu generasi ke generasi yang lain. Itulah cara kita memastikan Singapura terus maju dan kekal luar biasa sebagai sebuah negara dan sebagai satu rakyat,” kata Encik Wong.
Mengimbas bagaimana beliau merupakan antara yang termuda dalam Kabinet dalam penggal terakhir pemerintah sebelum ini, Encik Wong berkata beliau kini mempunyai lebih ramai rakan sekerja yang lebih muda sejak GE2025.
Pasukan baru ini, katanya, membawa tenaga segar, perspektif baru dan komitmen yang mendalam untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura.
Antara mereka yang beliau sebutkan termasuk AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang akan dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) pada Februari 2026.
Walaupun PAP telah menunjukkan prestasi yang baik semasa GE2025, Encik Wong berkata GE yang akan datang akan menjadi “pertempuran baru” dan akan menjadi “lebih sukar”.
Beliau menambah tidak kira sama ada GE akan datang akan diadakan pada 2030 atau “mungkin lebih awal”, PAP akan bersedia untuk menghadapi rakyat Singapura dengan penuh keyakinan.
“Rakyat Singapura mempunyai jangkaan yang tinggi dan piawaian yang tegas. Mereka akan menilai kita bukan sahaja berdasarkan apa yang kita katakan, tetapi juga berdasarkan tindakan dan apa yang kita lakukan.
“Banyak yang perlu kita lakukan, dan kita mempunyai agenda penuh di hadapan kita. Jadi marilah kita fokus. Selesaikan kerja. Selesaikannya dengan baik,” kata Encik Wong.
“
“Begitulah cara kita mewariskan obor, dari satu generasi ke generasi yang lain. Itulah cara kita memastikan Singapura terus maju dan kekal luar biasa sebagai sebuah negara dan sebagai satu rakyat.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg