Parti Tindakan Rakyat (PAP) perlu memainkan peranan utama membentuk politik yang bersih, jujur dan bernas di Singapura, dan ini melangkaui usaha membentuk dasar yang baik, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada 9 November.
Ini bermakna parti itu perlu bersuara setiap kali ia melihat sesuatu yang melampaui batas, termasuk mengecam individu atau parti yang cuba memutarbelitkan fakta untuk meraih keuntungan politik, menggunakan kaum atau agama untuk mendapat sokongan, atau mengambil pendirian populis semata-mata untuk ‘mengejar tepukan’, dan tidak menyelesaikan masalah.
Jika PAP tidak bersuara, politik di Singapura secara beransur-ansur akan menjadi lebih buruk seperti yang dilihat di seluruh dunia, kata Encik Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP, semasa berucap di Majlis Anugerah dan Persidangan PAP.
“Ia selalunya bermula kecil, penyelewengan di sini, separuh kebenaran di sini, sedikit pembohongan di sini. Kemudian, sedikit demi sedikit, kepercayaan terhakis dan masyarakat mula retak.
“Akhirnya perkara-perkara kecil ini semua bertambah. Apabila satu parti mengambil pendekatan sebegini, pihak lain mungkin akan mengikutinya. Dan tidak lama kemudian, politik dan wacana politik menjadi toksik, dan masyarakat berpecah-belah,” kata Encik Wong.
Encik Wong berkata walaupun langkah untuk bersuara mengenai isu-isu tersebut membawa sedikit kos politik kepada PAP, berdiam diri akan membawa kos yang lebih besar kepada nilai, piawaian dan masa depan negara.
Beliau menyatakan jika parti itu hanya mementingkan kepentingan politik jangka pendek sahaja, adalah lebih mudah untuk membiarkan perkara sedemikian tidak diperkatakan.
Sejak Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang diadakan pada Mei, pemerintah telah mengecam pelbagai tindakan yang dirasakan telah melampaui batas.
Semasa tempoh kempen, Encik Wong mengadakan sidang media untuk berucap dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, yang mana beliau menyeru semua parti politik untuk menolak politik identiti.
Pemimpin kanan PAP, termasuk Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, juga bersuara menentang kempen atas dasar perkauman dan agama.
Semasa Parlimen pada Oktober, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, mengecam Parti Pekerja (WP) atas penolakan “samar-samar” mereka terhadap sokongan daripada Encik Noor Deros, seorang guru agama warga Singapura yang berpangkalan di Malaysia.
Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, turut mengecam calon GRC Sembawang daripada Parti Demokratik Singapura, Encik Damanhuri Abas, kerana cuba mendapatkan sokongan berdasarkan garis perkauman semasa tempoh kempen.
Dalam ucapannya kepada lebih 1,800 aktivis parti di acara yang diadakan di Singapore Expo, Encik Wong berkata PAP mesti berdiri teguh sebagai sebuah parti.
“Kami bersuara, bukan kerana kepentingan parti, tetapi atas rasa tanggungjawab yang mendalam untuk memastikan politik di Singapura bersih, jujur dan membina.
“Kerana itulah erti PAP – untuk mempertahankan integriti dan kehidupan berbilang kaum, untuk melakukan apa yang betul, dan sentiasa mengutamakan Singapura dan rakyat Singapura dalam segala yang kami lakukan,” tambahnya.
Semasa ucapannya, Encik Wong juga menggariskan tiga keutamaan pemerintah bagi penggal pemerintah ini susulan GE2025.
Yang pertama adalah untuk menjamin kedudukan Singapura dalam dunia yang kian berubah dan yang sedang mengalami perubahan struktur yang mendalam.
Dengan kuasa-kuasa besar memilih untuk memandang ke dalam, serta peraturan yang membolehkan negara-negara kecil seperti Singapura untuk makmur ditarik balik, Encik Wong berkata Singapura tidak mampu untuk sekadar berdiam diri sahaja dan berharap keadaan akan kembali stabil.
Keutamaan kedua bagi pemerintah adalah untuk memastikan ekonomi Singapura berdaya saing dan kukuh, supaya rakyat Singapura dapat terus mempunyai pekerjaan yang baik dan kehidupan yang lebih baik.
Beliau memetik usaha berterusan oleh Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan sekumpulan pemegang jawatan politik yang lebih muda, untuk merangka pelan tindakan baru untuk ekonomi.
“Mereka menyasarkan untuk menyediakan set cadangan pertama mereka menjelang awal tahun depan, dan saya berharap dapat menerimanya supaya pemerintah dapat memberikan respons kami dalam Belanjawan 2026,” kata Encik Wong.
Keutamaan ketiga bagi pemerintah, kata Encik Wong, adalah untuk memberikan jaminan dan sokongan dan memastikan masyarakat kekal kukuh dan bersatu.
Pemerintah juga sedang menyemak semula dasarnya dalam semua bidang utama, terutamanya dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan dan persaraan.
Mengakui bahawa pekerjaan merupakan kebimbangan yang semakin meningkat bagi ramai rakyat Singapura, Encik Wong berkata pasukannya sedang berusaha untuk melakarkan inisiatif baru di peringkat masyarakat dan negara.
“Usaha kami tidak terhad kepada peringkat masyarakat.
“Di peringkat negara, kami sedang berusaha melakarkan inisiatif baru untuk mengembangkan ekonomi kita, dan menterjemahkan pertumbuhan itu kepada pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih baik dan kehidupan yang lebih baik untuk setiap pekerja,” kata Encik Wong.
“
“Kami bersuara, bukan kerana kepentingan parti, tetapi atas rasa tanggungjawab yang mendalam untuk memastikan politik di Singapura bersih, jujur dan membina. Kerana itulah erti PAP – untuk mempertahankan integriti dan kehidupan berbilang kaum, untuk melakukan apa yang betul, dan sentiasa mengutamakan Singapura dan rakyat Singapura dalam segala yang kami lakukan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg