Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong harap ketua buruh dalam Kabinet pada masa akan datang

Beliau turut beri jaminan suara NTUC, pekerja akan terus diambil kira dalam perbincangan Kabinet
May 21, 2025 | 7:53 PM
lawrence wong, ng chee meng, ketua buruh, kabinet
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menghormati permintaan Encik Ng Chee Meng agar tidak ditawarkan jawatan dalam pemerintah tetapi beliau berharap peranan ketua buruh akan menjadi sebahagian daripada Kabinetnya “tanpa perlu menanti terlalu lama”. - Foto ST

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menghormati permintaan Encik Ng Chee Meng agar tidak ditawarkan jawatan dalam pemerintah tetapi beliau berharap peranan ketua buruh akan menjadi sebahagian daripada Kabinet “tanpa perlu menanti terlalu lama”.

Bercakap kepada media semasa mengumumkan Kabinetnya pada 21 Mei, Encik Wong berkata Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) secara tradisinya memegang jawatan dalam Kabinet.

“Ng Chee Meng telah meminta untuk tidak ditawarkan jawatan dalam pemerintah supaya beliau boleh fokus kepada kerjanya di NTUC dan Jalan Kayu.

“Saya menghormati permintaannya, tetapi untuk kejelasan, ini adalah pengaturan sementara dan saya berharap untuk mempunyai ketua buruh menjadi sebahagian daripada Kabinet tanpa perlu menanti terlalu lama,” kata Encik Wong.

Beliau berkata pemerintah bekerjasama rapat dengan rakan tiga pihak dalam membangunkan strategi ekonomi Singapura dan perkongsian simbiotik PAP-NTUC dalam menambat fungsi tiga pihak tersebut.

Walaupun pada masa kini tiada ketua buruh dalam Kabinetnya, Encik Wong berkata pemerintah akan terus bekerjasama rapat dengan gerakan buruh dan memastikan pandangan NTUC, pemimpin kesatuan sekerja dan pekerja Singapura diambil kira sepenuhnya dalam perbincangan dan keputusan Kabinet.

Terdahulu pada 6 Mei, Encik Ng berkata dalam satu kenyataan, beliau telah meminta Encik Wong supaya tidak memberinya sebarang jawatan dalam pemerintah.

Dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Encik Ng memenangi SMC Jalan Kayu dengan 51.47 peratus undi, menewaskan muka baru Parti Pekerja (WP), Encik Andre Low, dalam pertandingan sengit.

Dalam kenyataan itu, Encik Ng telah memohon maaf sebagai respons terhadap kritikan mengenai kelakuannya semasa dialog Kementerian Pendidikan (MOE) pada 2017.

Beliau juga memberi respons kepada gambar yang muncul mengenai kehadirannya dalam majlis makan malam berkumpulan bersama geng kumpulan Fujian, Su Haijin, yang kemudian disabitkan kesalahan pengubahan wang haram.

Encik Lim Chee Onn ialah ketua buruh pertama yang dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri pada 1980.

Encik Ng menjadi Setiausaha Agung NTUC sejak 2018.

Jawatan itu dipilih oleh perwakilan kesatuan dan jawatankuasa pusat NTUC setiap empat tahun di Persidangan Perwakilan Kebangsaan NTUC.

Beliau ialah ketua buruh pertama dalam beberapa dekad yang tidak memegang jawatan Kabinet.

Diminta menjelaskan lebih lanjut mengenai keinginannya mempunyai ketua buruh menjadi sebahagian daripada Kabinet “tanpa perlu menanti terlalu lama”, Encik Wong berkata beliau masih berhubung rapat dengan Encik Ng.

“Pada satu ketika nanti, apabila beliau sudah bersedia, apabila kita fikir keadaan telah bertambah baik dan stabil, sama ada beliau, sama ada orang lain, saya tidak boleh katakan.

“Tetapi yang pasti, hasrat saya adalah untuk seorang Setiausaha Agung NTUC berada dalam pasukan saya,” tambah Encik Wong. – ANWAR SALEH

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg