Singapura dan Brunei mempunyai hubungan istimewa berteraskan ikatan peribadi kukuh yang telah terjalin sejak sekian lama, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 2 Oktober, Encik Wong berkata beliau telah meraikan Putera Mahkota Brunei, yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, dalam satu jamuan makan malam di Singapore Oceanarium di Sentosa pada 1 Oktober.

“Pihak kami menyediakan sepanduk di bawah air yang tertera, Deepening our friendship (Memperkukuh persahabatan kita).

“Ia merupakan mesej yang amat sesuai bagi menggambarkan hubungan erat dan berkekalan antara Singapura dengan Brunei. Teras kepada hubungan istimewa ini ialah ikatan peribadi kukuh yang telah terjalin sejak bertahun-tahun lamanya,” ujar Encik Wong.

Semasa lawatan ke Singapore Oceanarium pada 1 Oktober, Putera Al-Muhtadee Billah, mengambil bahagian dalam lawatan berpandu ke beberapa galeri, serta diberi taklimat mengenai kepelbagaian hidupan marin yang dipamerkan di situ.

Beliau kemudian menyertai majlis makan malam yang dihoskan Encik Wong di sana, yang turut disertai oleh beberapa pemimpin kedua-dua Singapura dan Brunei.

Antara mereka ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei, Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Menyentuh tentang lawatan itu, Encik Wong berkongsi beliau sentiasa menghargai peluang bertemu dengan Putera Al-Muhtadee Billah.

“Saya mengalu-alukan lebih banyak pertemuan, sambil kita terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Lawatan Putera Al-Muhtadee Billah ke Singapore Oceanarium merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi beliau ke Singapura dari 28 September hingga 2 Oktober atas undangan Encik Wong.

Putera Al-Muhtadee Billah turut mempengerusikan bersama Encik Wong, Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei yang ke-12, yang edisinya kali ini diadakan di sini.

Sejak dilancarkan pada 2013, YLP telah mengukuhkan hubungan peribadi antara Brunei dengan Singapura, khususnya antara pemimpin generasi muda.

Menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA), Putera Al-Muhtadee Billah, telah mengadakan lawatan ke beberapa tempat termasuk Pelabuhan Tuas, Bandar Safti dan Institut Perubatan Biodiversiti SingHealth Duke-Universiti Nasional Singapura (NUS).