Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Hubungan S’pura-India boleh diperkukuh

Talian lebih erat bukan sekadar dalam bidang dagang, malah ikatan antara rakyat
Sep 5, 2025 | 12:29 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tiga dari kanan), bersama Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi (dua dari kiri), semasa pertemuan delegasi di Hyderabad House, New Delhi, India, pada 4 September. Turut hadir ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (empat dari kanan), dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow (dua dari kanan).
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tiga dari kanan), bersama Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi (dua dari kiri), semasa pertemuan delegasi di Hyderabad House, New Delhi, India, pada 4 September. Turut hadir ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (empat dari kanan), dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow (dua dari kanan). - Foto ST

Singapura mahu hubungannya dengan India diperluas ke lebih banyak bidang, sambil kekal berteraskan nilai bersama serta rasa saling percaya dan menghormati, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Beliau menekankan bahawa hubungan kedua-dua negara perlu melangkaui perdagangan dan pelaburan semata-mata, serta disokong oleh ikatan antara rakyat.

Encik Wong berkata demikian kepada media Singapura dalam satu temu bual ringkas pada hari terakhir lawatan rasminya ke India yang berlangsung dari 2 hingga 4 September, lapor The Straits Times (ST).

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, menyifatkan lawatan tersebut sebagai “singkat tetapi bermanfaat”.

Beberapa jam selepas Encik Wong mengumumkan hala tuju “berwawasan” bagi Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) dengan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, beliau menjelaskan bahawa Singapura hanya menjalinkan CSP dengan beberapa negara – iaitu Australia, Perancis dan Vietnam.

“Hubungan ini bukan sekadar pada nama, sebaliknya ia hubungan penting yang ingin kita pupuk, kembangkan dan suburkan demi manfaat bersama,” jelas Encik Wong.

Menurut Encik Wong, usaha membina asas persefahaman lebih luas dengan India masih berjalan, dan warga India yang bekerja serta menetap di Singapura banyak membantu merapatkan hubungan antara perniagaan kedua-dua negara.

Namun, masih banyak usaha yang boleh dilakukan untuk memupuk hubungan itu, tetapi “ia tidak boleh dijalankan oleh pemerintah sahaja”, tambah beliau.

Jika lebih ramai warga Singapura melanjutkan pelajaran di universiti di India, melancong ke India atau bekerja di sana, maka Singapura dapat sama-sama meningkatkan pemahaman dan penghargaan terhadap negara tersebut, jelas Encik Wong.

Menurutnya, pemerintah telah menyerlahkan peluang perniagaan di India, dan akan terus berbuat demikian.

“Terdapat banyak peluang menarik yang sedang kita usahakan dari segi kerjasama dalam teknologi baru, penye­lidikan dan pengembangan (R&D) dan inovasi baru – bukan sahaja dalam bidang perdagangan dan pelaburan sedia ada,” katanya. 

Antara bidang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara termasuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, angkasa lepas, serta tenaga baru seperti ammonia dan hidrogen rendah karbon.

Sebagai sebahagian daripada hala tuju CSP, Singapura dan India bersetuju memulakan semakan semula terhadap Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (Ceca) dua hala. 

Apabila diminta penjelasan lanjut, Encik Wong berkata kedua-dua pemimpin telah membincangkan perkara itu secara ringkas, dan para pegawai akan membuat penelitian lanjut bagi menetapkan jadual semakan tersebut.

Encik Wong menjelaskan walaupun Ceca menyediakan rangka bagi perdagangan dan pelaburan bebas, Singapura telah mewujudkan wadah baru untuk memperdalam kerjasama dua hala, seperti Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR) dan Meja Bundar Perniagaan.

Melalui wadah itu, kedua-dua negara berjaya mengenal pasti peluang kerjasama baru, termasuk dalam industri semikonduktor dan logistik serta ruang digital, dan pada 4 September, perjanjian telah dimeterai untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang tersebut.

Dari perspektif serantau, adalah wajar bagi Singapura menjalinkan hubungan erat dengan India, kata Encik Wong. 

Ini kerana China merupakan enjin pertumbuhan yang kukuh di Asia, dan India pula dijangka menyusuli sebagai enjin pertumbuhan kedua.

“Beberapa tahun dahulu, kita sering berkata China dan India adalah dua sayap yang akan membawa seluruh rantau ini berkembang pesat, dan saya rasa kini kita sedang melihat perkara itu berlaku,” jelas beliau.

Singapura mahu Asia mempunyai rangka kerja serantau yang terbuka dan terangkum dengan Asean sebagai teras, yang mampu bekerjasama dengan semua kuasa besar.

Justeru, hubungan antara Asean dengan India penting dan saling menguntungkan kerana “ia menyediakan keseimbangan bagi kestabilan, ketahanan serta kelangsungan dinamik dan kemakmuran untuk kita semua di Asia”, tambah Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg