PM Wong: Hubungan S’pura-Jepun berkembang dengan ketara dalam 60 tahun
PM Wong: Hubungan S’pura-Jepun berkembang dengan ketara dalam 60 tahun
Perkongsian kedua-dua negara beri asas kukuh bagi harungi dunia penuh ketidaktentuan
TOKYO: Hubungan antara Singapura dengan Jepun telah berkembang dengan ketara dalam tempoh 60 tahun.
Kedua-dua negara kini berada dalam kedudukan baik untuk melangkah masuk ke babak baru hubungan dua hala, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 17 Mac.
Perkongsian kedua-dua negara selama beberapa dekad juga memberikan asas yang kukuh untuk mengharungi dunia yang penuh dengan ketidaktentuan, perpecahan dan gangguan yang hebat, ujar Encik Wong menjelang lawatan rasminya selama tiga hari ke Tokyo.
Dalam rencana untuk penerbitan Jepun, Nikkei, beliau menyatakan hubungan dua hala bermula dengan Singapura menerima bantuan dan pelaburan daripada Jepun, dan ia kemudian berkembang menjadi perkongsian pelbagai aspek yang saling menguntungkan.
Encik Wong membuat lawatan rasmi ke Jepun dari 17 hingga 19 Mac, sebagai sebahagian daripada lawatan perkenalan ke negara rakan kongsi utama di rantau ini sejak beliau mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri pada Mei 2024.
Beliau dijadual bertemu dengan rakan sejawatnya, Encik Sanae Takaichi.
Menurut Encik Wong, pada 1970-an, syarikat Jepun terkemuka seperti Toshiba, Sumitomo dan Mitsui menubuhkan operasi di Singapura, mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan asas perkilangan dalam ekonomi Singapura yang masih baru ketika itu.
Pada 1980-an, Singapura meraih manfaat daripada usaha Jepun dalam pemindahan ilmu pengetahuan berkaitan peningkatan mutu dan daya penghasilan.
Pelaburan Jepun di Singapura juga turut meningkat pada waktu itu, membawa bersama kepakaran dan teknologi yang sangat diperlukan oleh Singapura untuk beralih daripada industri yang bergantung pada tenaga pekerja kepada industri yang lebih maju dan berasaskan modal, kata Encik Wong.
Singapura dan Jepun semakin selesa bekerjasama antara satu sama lain menjelang 1990-an, tambahnya.
Pada 1994, kedua-dua negara bekerjasama untuk melancarkan daya usaha pertama Jepun bagi memberikan bantuan teknikal kepada negara dunia ketiga dan program itu berterusan hingga ke hari ini.
Pada 2002, hubungan antara kedua-dua negara memasuki fasa baru yang penting dengan penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Jepun-Singapura.
Ini merupakan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) pertama Singapura dengan ekonomi utama, dan perjanjian pertama Jepun dengan mana-mana negara, tambah Encik Wong.
Ini memudahkan pengembangan perusahaan Jepun ke pasaran di seluruh Asean dan Asia-Pasifik, dengan Singapura sebagai pangkalan mereka.
Ia juga mengukuhkan peranan Singapura sebagai hab perniagaan antarabangsa sambil memperdalam hubungan ekonomi Jepun dengan rantau ini.
Kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak sejak itu berkembang lebih luas, merangkumi rantau ini dan melepasi sempadan.
Kedua-dua negara turut terlibat dalam Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Asean-Jepun; Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau; Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik – tonggak utama dalam seni bina ekonomi antarabangsa, ujar Encik Wong.
“Kini, kami bersama berusaha menangani isu kritikal pada zaman kita,” katanya.

