Hubungan Singapura dengan Thailand berada pada tahap yang sangat baik, dengan kedua-dua negara itu bersiap sedia membangunkan agenda berbilang tahun bagi Asean.

Ini menjelang Singapura menjadi pengerusi kumpulan serantau itu pada 2027, diikuti Thailand pada 2028.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata demikian dalam satu sidang media di Bangkok bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, sempena Rahat Pemimpin Singapura-Thailand yang diadakan pada 2 September selepas terhenti selama 11 tahun.

Encik Wong berkata kerjasama kedua-dua negara itu terus berkembang mengikut keperluan dan keutamaan yang berubah.

Beliau memetik jaminan makanan dan tenaga, teknologi baharu terutamanya kecerdasan buatan (AI), serta keterhubungan fizikal, sebagai bidang utama yang menyaksikan kerjasama semakin diperdalam antara dua negara itu.

“Hubungan dua hala kita berada pada tahap yang sangat baik.

“Ia disokong oleh tahap kepercayaan dan hubungan yang tinggi pada peringkat kepimpinan, serta hubungan institusi yang kukuh antara kedua-dua negara kita,” kata beliau.

Singapura dan Thailand merupakan “rakan kongsi yang berfikiran sehaluan dengan kepentingan bersama dalam Asean yang kukuh dan bersatu padu”, kata Encik Wong, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerja rapat bagi merangka agenda berbilang tahun untuk kumpulan serantau 11 anggota itu.

Singapura bakal mengambil alih jawatan pengerusi Asean daripada Filipina pada 2027, manakala Thailand akan menggantikannya pada 2028.

“Ini memberi kita peluang unik untuk bekerjasama merentasi penggiliran pengerusi yang berturutan – terutamanya bagi inisiatif yang memerlukan usaha berterusan,” kata Encik Wong.

“Melalui cara ini, kita dapat mengekalkan momentum inisiatif penting dan mencapai kemajuan lebih besar dalam isu-isu yang penting bagi rantau kita,” tambah beliau.

Salah satu projek jangka panjang termasuk Grid Kuasa Asean, yang bakal memudahkan perdagangan elektrik rentas sempadan dalam kalangan negara serantau.

Projek ini mendapat perhatian lebih besar berikutan kebimbangan meningkat terhadap jaminan tenaga ekoran perang Iran.

Rahat Pemimpin Singapura-Thailand itu, yang merupakan platform dua hala peringkat tertinggi antara kedua-dua negara, kali terakhir diadakan pada 2015 di Singapura, antara Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, dengan rakan sejawatnya, Encik Prayut Chan-o-cha.

Rahat terkini merupakan yang pertama antara Encik Wong dengan Encik Anutin, yang sebelum ini pernah bertemu pada November 2025 semasa pemimpin Thailand itu melawat Singapura, serta pada Mei 2026 di Sidang Puncak Asean di Cebu, Filipina.

Pada 2 September, kedua-dua pemimpin itu menilai kemajuan inisiatif sejak pertemuan terakhir mereka dan membincangkan pembangunan lebih banyak projek demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Dalam bidang jaminan makanan, contohnya, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan dengan menggalakkan kerjasama antara pengeluar dengan pedagang makanan.

“Ini memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara – Thailand sebagai pengeluar makanan utama, dan Singapura sebagai pusat logistik dan perdagangan,” kata Encik Wong.

AI merupakan satu lagi bidang baharu yang diyakini Encik Wong boleh diterokai bersama Thailand melalui pembangunan aplikasi praktikal untuk industri seperti pembuatan, penjagaan kesihatan dan pelancongan bagi dilaksanakan di kedua-dua negara.

Singapura telah meningkatkan pelaburan AI pada Januari 2026 dengan menyalurkan $1 bilion bagi tempoh lima tahun hingga 2030 untuk mempertingkat keupayaan penyelidikan AI awam.

Thailand pula telah melancarkan program Pasport TH-AI pada 31 Ogos, yang memberikan lima juta rakyatnya akses percuma kepada alat AI selama setahun.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan kerjasama dalam bidang infrastruktur dan keterhubungan digital.

Singapura dan Thailand dianggap sebagai peneraju keterhubungan kewangan dalam Asean selepas melancarkan pautan PayNow-PromptPay pada April 2021.

Ini sekali gus menjadi sambungan sistem pembayaran masa nyata kebangsaan yang pertama di dunia. Sistem ini membolehkan pelanggan bank yang mengambil bahagian membuat pemindahan rentas sempadan hanya menggunakan nombor telefon bimbit.

Rancangan terkini adalah untuk memperluas rangkaian itu dan menghubungkannya dengan lebih banyak negara melalui rangka kerja pelbagai hala bersama.

Pada 2 September, kedua-dua Perdana Menteri itu turut menyaksikan Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani bagi meningkatkan kerjasama dalam pembangunan sektor sosial.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan berkongsi pengetahuan dan penyelidikan mengenai dasar serta program kebajikan sosial, di samping lawatan ke institusi perkhidmatan sosial.

MOU berkenaan dimeterai oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang merupakan sebahagian daripada delegasi Encik Wong, dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Thailand, Encik Nikorn Soemklang.