RIO DE JANEIRO (BRAZIL): Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menghubungi bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menerusi telefon pada 18 November bagi mengucapkan tahniah atas kemenangannya dalam pilihan raya negara itu baru-baru ini.
Dalam satu hantaran Facebook pada 19 November, Encik Wong berkata Singapura dan Amerika mempunyai hubungan yang kukuh dan dinamik.
“Perkongsian Amerika-Singapura adalah kukuh dan dinamik, dibina di atas jalinan kepercayaan dan kepentingan bersama yang mendalam,” katanya.
Encik Wong, yang kini berada di Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Rio de Janeiro, Brazil, menambah bahawa beliau berharap dapat bekerjasama dengan Encik Trump dan pasukannya untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kededua negara.
Semasa Pilihan Raya Presiden Amerika pada 5 November, Encik Trump meraih kemenangan besar mengatasi calon Demokrat, Cik Kamala Harris, yang merupakan Naib Presiden Amerika buat masa kini.
Dengan kemenangan itu, Encik Trump, 78 tahun, bakal mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-47 Amerika pada 20 Januari 2025, sekali gus memberi laluan kepadanya untuk kembali ke Rumah Putih sebagai presiden Amerika buat kali kedua.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg