Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Perdagangan, pelaburan terbuka perlu demi banteras kemiskinan global

Pertumbuhan, perdagangan kekal salah satu cara terbaik wujud pekerjaan, katanya di sesi perbincangan G20 di Rio
Nov 19, 2024 | 6:08 PM
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong (barisan belakang, empat dari kanan) bergambar bersama para pemimpin lain yang menghadiri pelancaran Perikatan Global Menentang Kelaparan dan Kemiskinan selepas sesi pertama Mesyuarat Pemimpin Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Rio de Janeiro, Brazil, pada 18 November.
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong (barisan belakang, empat dari kanan) bergambar bersama para pemimpin lain yang menghadiri pelancaran Perikatan Global Menentang Kelaparan dan Kemiskinan selepas sesi pertama Mesyuarat Pemimpin Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Rio de Janeiro, Brazil, pada 18 November. - Foto AFP

Negara-negara boleh memerangi kemiskinan dengan mengekalkan pertumbuhan ekonomi melalui perdagangan dan pelaburan yang terbuka, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong pada 18 November semasa menghadiri Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.

Bercakap kepada para pemimpin G20 dalam satu sesi perbincangan mengenai kelaparan dan kemiskinan, Encik Wong berkata pertumbuhan dan perdagangan kekal sebagai salah satu cara terbaik untuk mewujudkan pekerjaan.

Ini, katanya, adalah cara paling langsung untuk mengurangkan kemiskinan kerana “ia membuka jalan ke arah maruah, kestabilan dan berdikari”.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, kini berada di Brazil dari 17 hingga 20 November menghadiri Sidang Puncak G20. Ini berikutan lawatannya ke Lima, Peru, pada 14-16 November untuk Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).

Pada hari pertama Sidang Puncak G20, Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, melancarkan pakatan global menentang kebuluran dan kemiskinan dengan lebih 80 negara, termasuk Singapura, bersetuju untuk menyokongnya.

Encik Wong berkata cara paling langsung untuk menangani kebuluran dan kemiskinan adalah dengan menghentikan konflik dan peperangan, dan memberikan bantuan kepada zon konflik di mana terdapat keperluan yang paling besar.

Bagi Singapura, Encik Wong berkata ia telah melakukan peranannya di mana mungkin termasuk melalui penghantaran beberapa pusingan bantuan kemanusiaan untuk penduduk di Gaza.

Semasa berucap, Encik Wong berkata dalam memerangi kemiskinan, pertumbuhan dan penciptaan pekerjaan sahaja tidak akan mencukupi.

Oleh itu, beliau berkata adalah penting bagi pemerintah untuk terus melabur dalam pembangunan modal insan supaya rakyat mereka akan dilengkapi dengan kemahiran untuk mengisi pekerjaan dan peluang baru.

“Secara tradisi, kita telah melakukannya melalui pendidikan dan sekolah. Semakin lama, kita perlu melakukan lebih banyak lagi dalam bidang lain termasuk melalui pendidikan teknikal dan vokasional, dan dalam melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja dewasa.

“Kita memerlukan keseluruhan prasarana latihan kemahiran sepanjang hayat dan peningkatan supaya kita boleh melatih kakitangan untuk industri baru pada masa hadapan, dan memadankannya dengan pekerjaan yang sedang diwujudkan,” kata Encik Wong.

Beliau menambah ini merupakan pendekatan Singapura, dan bagaimana ia telah berjaya mengekalkan kadar pengangguran di bawah 3 peratus buat masa yang lama.

Encik Wong berkata Singapura sedia berkongsi pengalamannya dan menyokong Majlis Penasihat Peringkat Tinggi Bank Dunia mengenai Pekerjaan yang memberi tumpuan kepada Afrika dan Selatan Global.

Majlis tersebut dipengerusikan bersama oleh Presiden Singapura, Encik Tharman Shanmugaratnam.

Secara berasingan pada 17 November, Encik Wong turut bertemu Presiden Afrika Selatan, Encik Cyril Ramaphosa, di sidang puncak tersebut. Dalam catatan Facebook selepas pertemuan mereka, Encik Wong berkata kedua-dua negara menjalin perkongsian yang kukuh.

Selain mengembangkan hubungan perdagangan dan pelaburan,beliau berkata kedua-dua negara bekerjasama dalam bidang seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pembangunan kemahiran.

Encik Wong berkata pertemuan tersebut “lebih bermakna” memandangkan ia berlangsung pada hari lahir Encik Ramaphosa yang ke-72.

Semasa sidang puncak itu, Encik Wong juga sempat bertemu dengan beberapa Pemimpin Asean termasuk Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg