Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Perancis tingkat hubungan pertahanan, kerjasama tenaga nuklear

Kededua negara turut tingkat hubungan ke peringkat perkongsian strategik komprehensif (CSP)
May 30, 2025 | 5:13 PM
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong (kanan) dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron di sidang media bersama yang diadakan di Bangunan Parlimen pada 30 Mei, di mana kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 13 perjanjian antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong (kanan) dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron di sidang media bersama yang diadakan di Bangunan Parlimen pada 30 Mei, di mana kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 13 perjanjian antara kedua-dua negara. - Foto ZAOBAO

Singapura dan Perancis telah meningkatkan hubungan mereka kepada perkongsian strategik komprehensif (CSP) – satu peningkatan daripada perkongsian strategik yang pertama kali ditandatangani kedua-dua negara pada 2012.

Di bawah perkongsian baru ini, yang merupakan CSP pertama Singapura dengan sebuah negara Eropah, kedua-dua negara akan mengembangkan kerjasama dalam bidang seperti tenaga nuklear awam, perkongsian perisikan dan teknologi pertahanan.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron membuat pengumuman itu semasa sidang media bersama yang diadakan di Bangunan Parlimen pada 30 Mei, di mana kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 13 perjanjian antara kedua-dua negara.

Encik Macron sedang melakukan lawatan negara dua hari di Singapura dari 29 hingga 30 Mei, selepas melawat Indonesia dan Vietnam sebagai sebahagian daripada lawatan Asia Tenggaranya.

Semasa ucapannya, PM Wong berkata adalah lebih penting bagi negara yang berfikiran sama seperti Perancis dan Singapura untuk bekerjasama dalam dunia yang tidak menentu.

“Itulah sebabnya Presiden Macron dan saya bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kami dengan perkongsian strategik yang komprehensif.

“Ini akan memperdalam kerjasama dalam sektor sedia ada dan mengembangkan kerjasama dalam bidang baru seperti penyahkarbonan dan pendigitalan,” kata PM Wong.

Bercakap dalam bahasa Perancis, Encik Macron berkata terdapat “pandangan yang sama” antara Perancis dengan Singapura, memberi contoh pendirian Singapura terhadap perang Ukraine, di mana Singapura mengenakan sekatan terhadap Russia berikutan pencerobohannya pada 2022.

Beliau berkata perkongsian strategik yang komprehensif itu menandakan kepercayaan yang mendalam antara kedua-dua negara, dan berharap akan terdapat kerjasama selanjutnya dalam bidang perniagaan.

Singapura dan Perancis juga bersetuju untuk memudahkan kerjasama mengenai keselamatan, pembangunan tenaga kerja, penyelidikan, perlindungan alam sekitar, perlindungan kesihatan awam, serta kesediaan dan respons bagi kecemasan, antara lain.

PM Wong berkata perjanjian itu akan membantu Singapura meraih manfaat daripada kepakaran Perancis dalam bidang tenaga nuklear awam juga.

Bercakap mengenai perjanjian pertahanan, PM Wong berkata bidang tersebut sentiasa menjadi “tonggak” hubungan antara kedua-dua negara.

“Di bawah perkongsian baru ini, kami akan meningkatkan kerjasama dalam bidang lain, termasuk penggunaan teknologi pertahanan serta teknologi kritikal dan baru muncul.

“Kami juga akan memperkukuh perjalanan kerjasama, termasuk dengan mewujudkan dialog pegawai kanan,” kata PM Wong.

Kedua-dua negara juga bertukar tiga perjanjian untuk memperdalam dan mengembangkan hubungan pertahanan mereka merentasi pelbagai bidang kepentingan dan kepakaran bersama, termasuk bidang bukan tradisional seperti pertahanan digital.

Perjanjian itu juga akan menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan makmal penyelidikan dan pembangunan bersama yang ditubuhkan pada 2023 bagi membangunkan keupayaan kecerdasan buatan.

Singapura dan Perancis juga menandatangani perjanjian yang memudahkan perkongsian dan perlindungan bersama mengenai maklumat sulit antara kedua-dua negara.

Dikenali sebagai Perjanjian Keselamatan Am Perancis-Singapura, ia akan menyokong dan memperdalam kerjasama keselamatan dalam bidang kepentingan bersama di luar pertahanan, termasuk menentang pengganasan dan keselamatan siber.

Singapura dan Perancis juga bersetuju untuk bekerjasama dalam pendidikan teknikal dan vokasional, serta melancarkan pelan hala tuju untuk memperdalam kerjasama dalam dasar digital dan inovasi.

Ini menetapkan bidang kerjasama baru seperti pertukaran teknikal tentang cara kecerdasan buatan boleh meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

Kedua-dua negara juga menandatangani perjanjian untuk mengadakan peruntukan bagi ekstradisi pelarian antara mereka.

Perkongsian baru ini antara Singapura dengan Perancis adalah CSP ketiga bagi Singapura.

Perjanjian serupa telah dimeterai dengan Vietnam dan Australia, dengan rancangan untuk satu lagi dengan India.

Pada 30 Mei, Encik Macron juga menerima sambutan istiadat di Bangunan Parlimen, di mana beliau turut bertemu dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam menjelang jamuan negara yang dihoskan oleh Tuan Presiden bagi menghormati beliau dan isterinya.

Lawatan negara Encik Macron ke Singapura itu juga berlangsung sempena memperingati 60 tahun hubungan diplomatik antara Singapura dan Perancis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg