Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengucapkan tahniah kepada Presiden ke-47 dipilih Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, atas kemenangan beliau dalam pilihan raya negara itu.
Beliau mengatakan demikian dalam sepucuk surat tahniah kepada Encik Trump pada 6 November.
Beliau menyifatkan bahawa Singapura dan Amerika berkongsi kerjasama yang “lama terjalin, bermakna dan saling menguntungkan”.
Encik Wong berkata bahawa dalam penggal pertama Encik Trump sebagai Presiden, mereka telah mencapai kemajuan besar dalam kerjasama dua hala.
“Kami telah mengukuhkan hubungan pertahanan yang erat dan memperbaharui Memorandum Persefahaman (MOU) 1990, yang menyokong penggunaan kemudahan ketenteraan Singapura oleh Amerika.
“MOU ini menggariskan sokongan berterusan kami terhadap kehadiran Amerika di Asia-Pasifik, yang kekal penting untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” tulis beliau dalam surat tersebut.
2024 juga menandakan ulang tahun ke-20 Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) antara Amerika dan Singapura.
Encik Wong berkongsi bahawa sejak pertama kali ia terbentuk pada 2004, perdagangan dua hala telah meningkat tiga kali ganda, dengan Amerika mengekalkan lebihan perdagangan yang konsisten dengan Singapura.
“Singapura terus berfungsi sebagai pintu masuk ke rantau Asia Tenggara untuk kira-kira 6,000 syarikat Amerika. Singapura juga merupakan pelabur Asia ketiga terbesar di Amerika dengan lebih daripada 200 syarikat yang beroperasi di sekitar 40 negeri,” tambah beliau.
Di samping itu, Encik Wong turut mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden dipilih, Encik JD Vance, sambil berharap dengan pentadbiran baru itu, ia dapat memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Dalam surat kepada Encik Vance, Encik Wong berkata kedua-dua negara juga mempunyai kerjasama yang semakin berkembang dalam bidang baru seperti teknologi kritikal dan sedang berkembang, keselamatan siber, angkasa lepas dan tenaga nuklear.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan anda dan Presiden dipilih Encik Trump untuk terus mengukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara kita.
“Saya mengucapkan anda kesihatan yang baik dan kejayaan dalam jawatan baru anda,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg