Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: Kemajuan mesti seiring dengan identiti, hubungan masyarakat
S’pura akan jadi lebih kuat apabila rakyat berkembang bersama, kekal terhubung, sumbang kembali kepada masyarakat
PM Wong: Kemajuan mesti seiring dengan identiti, hubungan masyarakat
Matlamat Singapura bukan sekadar membantu setiap individu melangkah lebih jauh atau lebih pantas, bahkan untuk memastikan kemajuan itu kekal berakar umbi dengan identiti serta terhubung rapat dengan masyarakat, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis sambutan ulang tahun ke-75 Majlis Perwakilan Tamil (TRC) di hotel The Ritz-Carlton pada 19 September.
Menukil pepatah Tamil ‘thani maram thoppaagaathu’, yang bermaksud sebatang pokok tidak akan menjadi sebuah dusun, Encik Wong berkata Singapura menjadi lebih kukuh apabila rakyatnya berkembang bersama, kekal terhubung dan menyumbang semula kepada masyarakat yang telah menyokong mereka.
“Apabila kita memahami warisan kita, mengetahui nilai yang kita pegang dan mempunyai rasa identiti yang jelas, kita akan mempunyai keyakinan yang lebih besar untuk berinteraksi dengan dunia di sekeliling kita,” kata beliau.
TRC, yang ditubuhkan pada 1951 untuk menyatukan pertubuhan Tamil di Singapura di bawah satu bumbung, merupakan sebuah badan tidak meraih keuntungan yang berusaha meningkatkan taraf pendidikan dan ekonomi masyarakat Tamil di Singapura.
Ia kini mewakili 42 pertubuhan sekutu dan lebih 30,000 orang.
Encik Wong memuji usaha TRC dan sayap belianya kerana membantu generasi baharu masyarakat Tamil Singapura memahami warisan mereka, kekal terhubung dengan masyarakat serta berbangga dengan identiti mereka sebagai masyarakat Tamil dan warga Singapura.
Encik Wong menarik perhatian bahawa usaha penting TRC ialah penekanannya pada pendidikan sebagai laluan kepada peluang dan wadah memajukan keluarga serta memperkukuh masyarakat.
TRC juga bakal memperluas Dana Amanah Pendidikan G. Kandasamy untuk menyokong pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.
Dilancarkan pada 2000 untuk membantu murid sekolah rendah Tamil daripada keluarga berpendapatan rendah, dana tersebut menyediakan dermasiswa hingga $500 kepada individu yang layak dan telah menyumbang lebih $700,000 kepada lebih 5,000 murid sejak ia dibentuk.
Encik Wong berkata TRC juga berharap dapat menyokong golongan muda menerusi perancangan kerjaya, latihan industri (internship) dan pembangunan kepimpinan, yang mencerminkan pendekatan lebih luas Singapura dalam memberi mereka asas yang kukuh, keupayaan dan keyakinan.
Presiden TRC, Encik V. Pandiyan, turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Wong dan pemimpin pemerintah lain kerana tampil bersuara secara tegas menentang komen-komen berunsur perkauman baru-baru ini yang menyasarkan masyarakat India.
Komen-komen tersebut menyusuli laporan bahawa sembilan warga Singapura hilang dalam kejadian banjir di Nepal.
Sesetengah pihak mendakwa bahawa warga Singapura yang hilang itu “bukan rakyat kita” dan menggunakan istilah menghina terhadap masyarakat India.
Ketua eksekutif Temasek, Encik Dilhan Pillay Sandrasegara, turut disasarkan berikutan laporan bahawa Air India sedang mencari dana daripada pemegang saham termasuk Singapore Airlines.
Beberapa pihak mendakwa beliau memberi keutamaan kepada syarikat penerbangan tersebut disebabkan etnik beliau.
Polis telah mengenal pasti dan menyiasat lima individu berhubung komen berkenaan.
Encik Pandiyan berkata:
“Perkauman terhadap satu masyarakat menjejas setiap masyarakat. Apabila kita berdiri bersama, Singapura berdiri lebih teguh.”
