Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis siasat 5 individu kaitan komen berbaur perkauman, banjir Nepal, perjanjian SIA-Air India
Polis siasat 5 individu kaitan komen berbaur perkauman, banjir Nepal, perjanjian SIA-Air India
Polis siasat 5 individu kaitan komen berbaur perkauman, banjir Nepal, perjanjian SIA-Air India
Lima individu, berusia antara 29 dengan 66 tahun, telah dikenal pasti dan disiasat oleh polis berhubung komen tertentu yang dibuat dalam talian mengenai bencana banjir Nepal baru-baru ini serta perbincangan mengenai pelaburan Singapore Airlines (SIA) dalam Air India.
Polis dalam satu kenyataan pada 9 September berkata pihaknya akan terus menyiasat dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas komen dalam talian tersebut.
Pihak polis tidak dapat mengulas lanjut mengenai butiran kes individu berkenaan, memandangkan siasatan masih dijalankan.
“Polis memandang serius terhadap tingkah laku yang boleh melukakan perasaan kaum atau mencetuskan permusuhan dan sentimen buruk antara kaum,” kata mereka.
Kenyataan polis itu dikeluarkan menyusuli kenyataan Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, pada 5 September bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat komen berbaur perkauman dan xenofobia berkaitan banjir Nepal serta pelaburan SIA dalam Air India.
Komen dalam talian mengenai isu itu – yang turut menyentuh ular, kari, perata, ilmu hitam dan pelbagai stereotaip perkauman lain – adalah “memalukan, keji dan sama sekali tidak boleh diterima” tegas Encik Shanmugam yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri.
Merujuk kepada komen anti-India tersebut, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu hantaran Facebook pada 6 September berkata Singapura tidak sesekali boleh membiarkan prasangka terhadap mana-mana masyarakat menjadi sesuatu yang diterima atau dianggap normal.
Beliau menegaskan bahawa akan sentiasa wujud golongan yang cuba mengeksploitasi perbezaan di Singapura, namun bagaimana negara ini bertindak balas bergantung kepada rakyat Singapura sendiri.
Walaupun tidak semua komen kebencian dalam talian dapat dihentikan, “kita boleh menolak pandangan sebegini, dan tidak memberikan ruang atau legitimasi lebih besar kepadanya,” tambahnya.
Dalam satu hantaran Facebook pada 6 September, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, turut menyeru rakyat Singapura agar “menolak kebencian,” dan berkata amat membimbangkan melihat komen berbaur perkauman dan kata-kata kebencian yang ditujukan kepada masyarakat India susulan tragedi banjir Nepal.
Reaksi yang sewajarnya pada saat-saat sebegitu ialah belas kasihan dan perpaduan, katanya, sambil menambah bahawa warga Singapura perlu saling menyokong tanpa mengira kaum, bahasa atau agama.
“Apabila kejadian seperti ini berlaku, pemimpin perlu bersuara dengan tegas dan penuh keyakinan untuk mendedahkan apakah yang berlaku, mengecam eksploitasi emosi dasar sebegini, dan menyeru semua rakyat Singapura supaya bersatu padu,” kata Encik Lee.
Dalam kes banjir besar Nepal-Tibet yang berlaku pada 26 Ogos, sembilan rakyat Singapura dilaporkan hilang.
Pada 31 Ogos, Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Alex Yam, dalam satu hantaran Facebook berkata beliau perasan terdapat komen yang mempersoalkan sama ada sembilan individu yang hilang itu “benar-benar rakyat Singapura”.
“Sementara keluarga menanti dengan gelisah berita mengenai orang tersayang mereka, segelintir kumpulan yang bersuara lantang dilihat menilai nama dan wajah mereka yang hilang lalu memutuskan bahawa inilah saat untuk mempersoalkan sama ada mereka benar-benar warga Singapura,” katanya.
