Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Kepercayaan antara S’pura, M’sia sangat kukuh

Dagang elektrik, tenaga diperbarui antara bidang kerjasama baru
Jan 8, 2025 | 5:30 AM
Perdana Menteri Lawrence Wong (kiri) mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di pejabat Datuk Anwar di Kompleks Perdana Putra pada 7 Januari.
Perdana Menteri Lawrence Wong (kiri) mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di pejabat Datuk Anwar di Kompleks Perdana Putra pada 7 Januari. - Foto MDDI

PUTRAJAYA: Tahap kepercayaan antara pemerintah serta pemimpin Singapura dan Malaysia “berada pada asas yang sangat kukuh”, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Hubungan itu, yang dibina atas kepercayaan dan persefahaman bersama, menjadi asas yang membolehkan dua negara ini meneruskan kerjasama lebih mendalam dan lebih besar.

Ia juga membolehkan pemimpin dua negara ini bekerjasama dengan lebih rapat untuk menyelesaikan isu-isu dua hala yang masih tertunggak, seperti air, ruang udara, dan sempadan maritim.

“Kami mahu meneruskan kemajuan dalam proses mencari huraian bagi isu-isu dua hala yang telah kami bincangkan. Ini adalah isu-isu rumit – isu-isu lama yang telah kami bincangkan sejak 12 bulan lalu.

“Kami telah membuat beberapa kemajuan, tetapi kami belum mencapai satu huraian kerana isu-isu ini sangat rumit, dan akan ada perbezaan pandangan.

“Perdana Menteri Anwar dan saya komited sepenuhnya untuk meneruskan pelibatan dan perbincangan, dan diharapkan kami dapat melihat sedikit kemajuan menjelang rahat pemimpin seterusnya merentasi ketiga-tiga isu dua hala yang masih tertunggak ini,” kata Encik Wong, merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media semasa menggulung Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya, Malaysia, pada 7 Januari. Beliau turut menggariskan beberapa keutamaannya bagi hubungan Singapura dan Malaysia untuk 2025.

Semasa rahat pemimpin itu, Encik Wong bertemu dan mengadakan beberapa perbincangan bersama Datuk Anwar, termasuk mengenai beberapa projek yang sedang berjalan serta isu-isu dua hala yang belum selesai.

Mereka turut menyaksikan pertukaran beberapa dokumen perjanjian antara dua negara itu, termasuk Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Encik Wong berkata JS-SEZ, bersama Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang dijangka mula beroperasi pada Disember 2026, adalah antara beberapa projek utama yang Singapura dan Malaysia sedang usahakan dan memberi keutamaan untuk memastikan projek-projek itu “mencapai hasil yang baik” bagi manfaat rakyat.

“Ini semua berjalan dengan baik, tetapi mencapai persetujuan hanyalah permulaan, kita perlu memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan, agar kita dapat melihat hasilnya.

“RTS berkembang sangat baik di kedua-dua belah pihak. Ia berada di landasan untuk siap menjelang akhir 2026. Bagi SEZ, kita baru sahaja bermula, dan kita berharap dapat melihat hasil yang baik daripadanya,” kata Encik Wong.

Sama ada JS-SEZ akan memenuhi janjinya untuk menjadi hab perniagaan dan pelaburan untuk Singapura dan Malaysia yang boleh menarik lebih banyak pelaburan global, Encik Wong berkata ia bergantung pada cara perniagaan meraih manfaat daripada cadangan nilai projek itu.

Pada pihak Singapura, Encik Wong berkata terdapat banyak minat tetapi ia juga bergantung pada perniagaan Malaysia dan sejauh mana JS-SEZ akan dilaksanakan.

“Apabila kita bekerjasama dengan pihak Malaysia untuk memastikan pelepasan kastam lebih lancar, aliran barangan lebih lancar, aliran data, aliran orang – saya fikir perniagaan akan respon secara positif.

“Ia akan menjadi satu kelebihan besar. Kita percaya, bagi pihak pemerintah, kita boleh menyusun atur pelaksanaannya selaras dengan perjanjian itu, dan kita berharap pada masa akan datang, perniagaan akan respon dengan sewajarnya,” kata Encik Wong.

Selain menarik perniagaan dari Singapura dan Malaysia, Encik Wong juga berharap JS-SEZ dapat menarik pelaburan global baru berdasarkan cadangan nilai dan potensi insentifnya.

Beliau menambah bahawa pegawai dari kedua-dua belah pihak akan terus bekerjasama rapat untuk melaksanakan Perjanjian JS-SEZ, termasuk mengambil maklum balas daripada masyarakat perniagaan.

Selain JS-SEZ, Encik Wong berkata satu lagi keutamaan utama bagi Singapura dan Malaysia ialah mengejar bidang kerjasama baru seperti perdagangan elektrik rentas sempadan dan eksport tenaga elektrik dari Sarawak ke Singapura melalui kabel dasar laut.

“Ia adalah projek besar-besaran jika ia membuahkan hasil. Ini adalah tambahan kepada apa yang kami bersedia import melalui Semenanjung Malaysia, termasuk dari Laos, Thailand, Malaysia, hingga Singapura.

“Sesetengahnya sudah mengalir, tetapi ia agak kecil, dan kami benar-benar boleh melakukan lebih banyak lagi di sana. Kabel bawah laut Sarawak, ia adalah projek utama yang kami sedang bincangkan, dan kami berharap kami boleh mencapai kemajuan di sana,” kata Encik Wong.

Beliau menambah bahawa kededua negara akan terus memperdalam perdagangan elektrik rentas sempadan dan kerjasama tenaga boleh diperbaharui, dan diharapkan dapat mengambil langkah konkrit menjelang rahat pemimpin seterusnya, yang dijadualkan berlangsung menjelang akhir 2025.

Pada 7 Januari, sebanyak enam memorandum persefahaman dan satu surat hasrat telah ditukar oleh Singapura dan Malaysia, sambil disaksikan oleh Encik Wong dan Datuk Anwar. Antara perjanjian yang bakal diterokai termasuk penyimpanan dan penangkapan karbon dan kerjasama kredit karbon.

Rahat pemimpin tahunan ini adalah platform untuk pemimpin kedua-dua negara menetapkan hala tuju keseluruhan bagi kerjasama dua hala.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg