Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menegaskan bahawa keutamaan utama pentadbirannya dalam penggal baru ini adalah menangani ketidaktentuan ekonomi yang boleh memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat Singapura.
Bercakap kepada media selepas kemenangan besar Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam GE2025 pada awal 4 Mei, beliau menjelaskan bahawa meskipun kadar inflasi semakin menurun, keadaan ekonomi yang perlahan tetap boleh menjejaskan pendapatan rakyat dan memburukkan beban kewangan harian.
“Jika ekonomi perlahan, ini akan memburukkan lagi kebimbangan tentang kos sara hidup, walaupun inflasi sedang menurun,” kata Encik Wong.
“Apabila pendapatan turut terjejas akibat kelembapan ekonomi, rakyat akan lebih terasa tekanan kewangan.”
Encik Wong menekankan bahawa pendekatan pemerintah bukan sekadar tertumpu kepada pemberian rebat atau baucar semata-mata, tetapi merangkumi strategi ekonomi yang lebih luas, termasuk dasar berkaitan pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kestabilan pasaran pekerjaan.
“Kami sedang meneliti keseluruhan situasi ekonomi dan bersedia dengan pelan simpanan yang boleh diaktifkan jika perlu,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa ‘kos sara hidup’ adalah satu istilah umum yang sebenarnya mencerminkan kebimbangan lebih luas rakyat – bukan hanya berkaitan harga barangan keperluan asas, tetapi juga merangkumi isu-isu seperti perumahan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Kami mengambil pendekatan menyeluruh – bukan hanya memberi bantuan kewangan, tetapi juga memastikan pekerjaan terus wujud, pendapatan meningkat dan ekonomi kekal dinamik.
“Ini semua sebahagian daripada usaha mengurangkan beban hidup rakyat,” katanya.
Encik Wong menambah bahawa pemerintah akan terus memantau perkembangan ekonomi global dan domestik, serta bersedia menyesuaikan dasar jika keadaan memerlukan, demi memastikan semua lapisan masyarakat tidak tercicir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg